Laman Utama
"Dia Tak Pergi Mana-Mana Pun, Duduk Rumah Saja" - Aisar Khaled Bimbang Ibu Positif COVID-19
Ibu kepada personaliti media sosial, Aisar Khaled, Roslina Abdul Rashid disahkan positif virus COVID-19 pada Khamis.
Kata Aisar, 21, ibunya yang sudah mendapat dos kedua vaksin minggu lalu menjalani ujian calitan COVID-19 selepas beberapa hari demam.
"Ibu saya disahkan positif (COVID-19) pagi semalam dan dia mendapat vaksin dos kedua minggu lepas.
"Kemudian dia demam beberapa hari tapi sihat balik selepas itu, tapi demam semula baru-baru ini. Jadi, saya sarankan dia buat ujian calitan COVID-19 semalam.
"Apabila disahkan positif terus ambulans datang ambil malam semalam dan dia disahkan stage dua.
"Ibu saya sebenarnya tak pergi mana-mana pun, dia ada duduk rumah saja, kalau keluar pun ada keluar beli barang depan rumah.
"Tapi nak buat macam mana, Allah beri ujian macam ni sebab Allah sayangkan kita," ujarnya kepada Gempak.
Aisar terdahulu berkongsi sepotong video menghantar ibunya menaiki ambulans untuk dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Maeps, Serdang, Selangor malam tadi.
Berkongsi perkembangan terbaharu, abangnya yang turut tinggal bersama negatif virus berkenaan bagaimanapun Aisar masih belum membuat ujian saringan COVID-19.
"Saya belum buat ujian tapi abang saya negatif. Mudah-mudahan saya pun negatif.
"Buat masa sekarang saya dan ibu masih berhubung, keadaannya stabil cuma dia kurang selera makan.
"Saya nak minta doa kepada semua, maafkan ibu saya dan saya yang banyak buat salah dan sebagainya. Maafkan semua orang semoga dipermudahkan segala urusan," tambahnya.
Merindui ibunya, Aisar turut berkongsi sepotong video bersendirian di bilik ibunya serta membersihkan katil ibunya dengan cecair pembasmi kuman.
"Setiap ujian pasti ada hikmahnya, jangan terlalu bersedih tau semua. Mama balik nanti Aisar jaga mama tau. Hargailah mereka yang masih ada," tulis Aisar menerusi hantaran di Instagram Stories.