Hollywood
"Dia Terkapai-Kapai Minta Tolong Sebelum ..." - Detik Kematian Naya Rivera Didedahkan
Selepas hampir dua bulan meninggal dunia, hasil autopsi bintang rancangan televisyen Glee, Naya Rivera akhirnya didedahkan.
Menerusi laporan Pemeriksa Perubatan Wilayah Ventura, Rivera mati akibat lemas.
Berdasarkan kenyataan daripada anak lelakinya, Rivera telah membantu anaknya, Josey untuk naik ke bot yang disewa mereka keluar dari tasik.
Bagaimanapun, Rivera gagal untuk menyelamatkan dirinya dan terkapai-kapai meminta pertolongan sebelum hilang.
"Dia membantu anaknya naik ke bot dan mendengarnya berteriak meminta tolong sambil mengangkat tangan ke udara. Dia kemudiannya hilang dalam air," tulis laporan berkenaan.
Dalam laporan sama, Rivera disahkan dalam keadaan sihat dan tiada kaitan dengan pengambilan alkohol atau bunuh diri.
Malah, Rivera disifatkan seorang perenang yang handal.
Namun, Rivera mempunyai sejarah penyakit vertigo yang akan menjadi lebih teruk ketika berada di kawasan tidak seimbang.
Sebelum kematiannya, Rivera pernah dimasukkan ke hospital disebabkan vertigo.
Pegawai perubatan turut menunjukkan kadar kandungan toksikologi atau bahan kimia dalam badannya berada pada tahap rendah. Rivera hanya sempat meminum White Claw sebelum terjun ke dalam tasik.
"Rivera mempunyai kadar amfetamin rendah (Adderall, Dexedrine), diazepam, etanol dan phentermine (penekan nafsu makan) di dalam sistemnya dan juga kafein, ketika dia meninggal dunia.
"Kepekatan alkohol dalam darahnya adalah 0.016 dan dipercayai bahawa dia meminum White Claw ketika di kapal," tambah laporan itu.
Pihak berkuasa turut menemui telefon bimbit, jarum suntikan dengan cairan merah jambu, ID dan slip preskripsi yang mengandungi amfetamin di dalam dompetnya.
Naya hilang ketika menaiki bot bersama anaknya di Lake Piru pada 8 Julai 2020.
Mayatnya ditemui lima hari selepas kehilangannya dilaporkan.
Rivera dikebumikan di kompleks pengebumian selebriti Hollywood seperti Nipsey Hussle, Liberace dan Paul Walker