Hiburan
"Dia Terlalu Baik Untuk Saya" - Farisha Iris Tak Jadi Kahwin Hujung Tahun Ini
Penyanyi Farisha Iris terpaksa menelan pahit berpisah dengan jejaka yang bakal dikahwininya akhir tahun ini atas faktor peribadi.
Jelas Farisha, hubungan dengan usahawan kacak yang dirahsiakan identitinya itu berakhir secara baik.
"Sepatutnya majlis perkahwinan kami berlangsung pada hujung tahun ini, tapi atas hal-hal tertentu tidak dapat diteruskan.
"Saya sudah mengenali jejaka ini lebih setahun. Keluarga saya pun sudah kenal dengan dia, tapi tiada jodoh dan saya masih berkawan baik dengannya," katanya.
Farisha berkongsi perkara itu ketika ditemui pada program Celebrate Earth Day With Hariz Hamdan di Universiti Malaysia Arena, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Keluarga tak okey
Menurut Farisha, dia memohon maaf kerana tidak dapat berkongsi sebab utama hubungannya dengan jejaka itu menemui titik noktah.
"Saya rasa tak baik untuk saya cerita sebab nanti ia membuka aib pihak sana aib pihak sini terkeluar, jadi biarlah saya simpan sendiri.
"Dia terlalu baik untuk saya, belum sampai seru untuk berkahwin. Mungkin bukan rezeki saya, sedih tu sedih tapi yang penting restu ibu bapa.
"Contoh jika keluarga kata tak okay, maksudnya tak okay. Saya sentiasa dengar kata keluarga dalam membuat keputusan," katanya.
Serik bercinta
Biarpun kelihatan kuat mendepani ujian yang berlaku, Farisha bagaimanapun mengaku serik untuk bercinta.
Katanya dia kini hanya mahu tumpuan sepenuh perhatian terhadap pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan komunikasi media di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
"Sekarang ini saya nak fokus belajar, tapi risau bila dah dapat ijazah kedoktoran nanti orang tak nak saya.
"Sekarang kalau berdoa saya lebih spesifik supaya jadi kenyataan, yang penting bertanggungjawab sebab saya tak nak makan sebutir nasi sahaja," katanya.
Sebelum ini, bekas peserta program Big Stage musim ketiga ini ada memuat naik foto sedang membuat tinjauan dewan kahwin di Instagram miliknya pada hujung tahun lalu.