Berita
"Dia Yang Mengurat Saya Dulu" - Taufiq Hanafi Akui Jalin Hubungan Cinta Dengan Model, Sambut Raya Bersama
Pelakon filem Paskal, Taufiq Hanafi mengakui kini sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang model, Neesa Sodirman.
Menurut Taufiq, 29, hubungan tersebut mula terjalin selepas kekasihnya itu cuba mendekatinya di media sosial pada tahun lalu.
"Dia yang mengurat saya dulu. Dia mesej saya di Instagram. Dari situlah kami mula berkenalan.
"Bila dia mahu berkawan, saya pun okey sahajalah. Tiba-tiba jadi macam ni (hubungan serius)," katanya ketika dihubungi Gempak.
Begitupun, kata pelakon filem Ola Bola itu, hubungan tersebut masih lagi di peringkat mengenali hati budi.
"Kita memang ada merancang (untuk berkahwin), tapi masing-masing pun tengah cuba menstabilkan kedudukan kewangan.
"Insya-Allah kalau ada jodohnya saya beritahu. Cuma, kalau boleh nanti saya nak skip tunang, kahwin terus sahajalah kot," ceritanya.
Sebelum ini, Taufiq turut memuat naik sekeping foto di Instagram menyambut Aidilfitri bersama kekasihnya itu.
"Saya dan dia tak dapat balik kampung. Inilah seumur hidup pertama kali sambut di Kuala Lumpur. Jadi, waktu pagi raya itu, memang saya dan dia (kekasih) bersama adik sahaja," jelasnya.
Dalam entri tersebut, Taufiq memberi bayangan keseriusan hubungan tersebut apabila mendakwa bakal menyambut lebaran tahun depan 'bersama' di kampungnya di Johor.
Saksikan lakonan Taufiq Hanafi di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!