Hiburan
Diana Rafar, Zamarul Hisham dan Afyaa Santuni Selebriti Veteren Menerusi Dari Poket Artis Ke Poket Artis 2.0
Kejayaan program Dari Poket Artis Ke Poket Artis 1.0 yang dijalankan pada November tahun lalu mendorong pasangan selebriti, Diana Rafar dan Zamarul Hisham menganjurkan siri kedua.
Dari Poket Artis Ke Poket Artis 2.0
Istimewanya kali ini, Dari Poket Artis Ke Poket Artis 2.0 bekerjasama dengan jenama makanan tambahan kesihatan Afyaa Sdn Bhd dengan menyantuni 20 artis seterusnya memberikan tajaan produk Afyaa Hayyiba, Afyaa Sahiyya selama tiga hingga enam bulan dan wang tunai RM5,000.
Menurut Zamarul yang juga pengasas Dari Poket Artis Ke Poket Artis, siri kali ini bukan saja membantu dari wang ringgit, tapi turut memberi fokus pada kesihatan artis yang terpilih.
"Tujuan utama program ini sebenarnya nak menyantuni artis lama dan veteran. Selepas kejayaan program Dari Poket Artis Ke Poket Artis 1.0, kita pun dapat tahu Lembaga Zakat Selangor turut membuat 'follow up' dengan keadaan mereka dan ada juga artis yang dah dapat bantuan dan seperti bayaran rumah sewa dan sebagainya. Saya dan Diana bersyukur sangat.
"Jadi, untuk kali ini saya cakap kepada Diana tidak semestinya kita kena buat dan bagi dalam bentuk wang sahaja.
“Tapi mungkin kita boleh bantu dari segi kesihatan. Kebetulan saya pernah makan produk Afyaa ini sebab ada masalah pinggang.
“Alhamdulillah, berkesan untuk saya. Selepas bincang dengan Diana dan bercakap dengan Afyaa, mereka bersetuju menyumbang untuk penjagaan pemakanan selama tiga ataupun enam bulan buat artis yang ada masalah kesihatan serta wang tunai.
"Bagi kami, ini satu cara untuk buka ruang mungkin bukan dengan Afyaa saja, tapi selepas ini mungkin syarikat lain yang dapat tahu mereka ini tak berapa ataupun ada masalah kesehatan.
“Mungkin syarikat lain juga akan menyusuli. Saya dan isteri bukannya jutawan untuk kita buat setiap bulan, tapi kita cuba untuk buat semampunya dan membantu.
"Dari Poket Artis Ke Poket Artis 2.0 ini kita bermula dengan pelakon, mungkin selepas ini kita cari pengarah, komposer dan penyanyi.
“Memang itu impian saya sebenarnya. Tetapi Allah belum bagi kaya lagi. Jadi, kita gunakan cara dan pendekatan sebegini iaitu bekerjasama dengan syarikat yang sukarela dan sudi membantu," katanya.
Harap program dapat diteruskan
Bagi Diana pula, dia berharap program seumpama ini akan dapat diteruskan.
"Pada awalnnya, niat saya semasa buat Dari Poket Artis Ke Poket Artis 1.0 sebab dapat sambutan ramai artis seperti Mila Jirin dan Zizan Razak.
“Artis yang datang sahaja kami boleh kumpulkan daripada seorang itu RM3,000 hingga RM4,000. Jadi, saya fikir kalaulah perkara ini dapat diteruskan setiap tiga bulan dan kalau dapat teruskan setiap bulan saya bersyukur sangat sebab ramai lagi artis yang tengah popular sekarang kalau dapat tolonglah hubungi saya sebab mahu bersatu.
"Tetapi, pastinya ada ujian juga bukan senang nak kumpulkan semua dan bergerak di bawah satu kepala. Jadi saya fikir tak apa kalau susah di sini, mungkin Allah bagi jalan kepada pengasas produk pula.
"Saya yakin program seperti ini akan berterusan dan berpanjangn atas niat yang betul. Mungkin bukan setiap tahun, tapi kalau diizinkan Allah setiap bulan saya dan Zamarul memang nak buat," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Afyaa Azim Adnan berkata, pihaknya berbangga untuk memberikan sokongan kami kepada artis-artis veteran yang telah banyak memberi sumbangan kepada industri hiburan tanah air.
"Kamil komited untuk memberikan yang terbaik buat pelanggan kami. Kami berbangga untuk memberikan sokongan kami kepada artis-artis veteran yang telah banyak memberi sumbangan kepada industri kami selama beberapa dekad.
"Kami bernekad untuk melangkaui batas dalam memastikan kesihatan dan kebahagiaan mereka yang menggunakan produk kami dalam kehidupan seharian mereka," katanya.
Tambahnya lagi, dengan mencipta peluang interaksi di antara artis moden dan artis veteran, inisiatif ini memupuk rasa perpaduan, kerjasama dan semangat saling menyokong yang lebih mendalam merentas era komuniti hiburan yang berbeza.
"Ini mempamerkan bukti usaha berwawasan Diana Rafar dan Zamarul Hisham, yang dedikasi mereka terhadap program ini bertujuan untuk meringankan cabaran yang dihadapi oleh artis veteran.
"Melalui kerjasama ini, mereka berusaha untuk memberi penghargaan ke atas sumbangan seniman berpengalaman kita, sambil menggalakkan semangat setiakawan dan berkongsi kejayaan dalam industry seni Malaysia," jelasnya.
Selain itu, kesemua artis turut mendapat tajaan menunaikan umrah sumbangan daripada Pengerusi Yayasan Global Mesra Datuk Seri Salim Abdul Rahman.
Antara artis terbabit ialah Norlia Ghani, Delimawati, Azlee Senario, Harun Hashim, Mubarak Majid, Ako Mustapha, Bagio, Sathia, Mak Wan Latah, Mak Engku, Kartina Aziz, Anita Rafar, Asilah Rafar, Azila Rafar, Sahronizam Noor, Mak Jah, Kenji Sawahi, Ako Mustapha, Aida Khaleda dan Yasin Senario.
Program Dari Poket Artis Ke Poket Artis 2.0 berfungsi sebagai platform penting untuk merapatkan jurang generasi dalam industri hiburan.
#Produk
#Zamarul Hisham
#Diana Rafar
#Program
#Afyaa
#Dari Poket Artis Ke Poket Artis
#Selebriti Veteren