Hiburan

Dianugerahkan Biduanita Negara, Siti Nurhaliza Zahirkan Rasa Syukur - "Ini Lambang Penghargaan Semua Insan Seni Tanah Air"

Asyraf Roslan
13/11/2024
15:27 MYT
Sponsor Banner
Dianugerahkan Biduanita Negara, Siti Nurhaliza Zahirkan Rasa Syukur - "Ini Lambang Penghargaan Semua Insan Seni Tanah Air"
Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan rasa syukur atas penganugerahan Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024.
Dalam satu kenyataan media, pelantun yang popular dengan lagu Aku Cinta Padamu itu berkata beliau tidak melihat anugerah itu sekadar pengiktirafan kepada pencapaian kerja seninya semata-mata.
“Pertama sekali, dengan penuh keinsafan dan rendah diri, saya ingin menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas penganugerahan Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024.
“Terima kasih tidak terhingga kepada Kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi di atas anugerah ini.
“Dari hati yang luhur, saya melihat anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada pencapaian kerjaya seni saya, namun merupakan lambang penghargaan kepada semua insan seni yang sentiasa memperjuangkan keindahan budaya dan muzik tanahair.
“Amanah dan kepercayaan ini juga merupakan satu tanggungjawab buat saya secara peribadi untuk terus memartabatkan seni dan budaya terutama dalam bidang muzik untuk terus cemerlang dan subur mewarnai zaman,”katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Pada masa sama, pemilik nama Siti Nurhaliza Tarudin,45, juga memanjatkan rasa syukur dengan bakat yang dikurniakan kepadanya itu dapat memberi nilai positif kepada masyarakat.
“Kepada Allah SWT saya panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dengan kurniaan bakat, saya berpeluang memanfaatkannya untuk memberi nilai-nilai positif, inspirasi dan pengaruh yang baik.
“Seni juga menghubungkan dan menyatukan kita tanpa mengira agama, bahasa, bangsa dan negara. Justeru, saya berikrar untuk terus menggandakan usaha memberikan nilai positif dalam mengekalkan seni budaya untuk terus dihormati, dijaga, dihargai kerana inilah warisan yang kita ada dan perlu dipelihara,” tambahnya.
Dalam meraikan detik manis yang bersejarah ini, Siti juga menyatakan dia terkenang dengan kata-kata arwah ayahnya, Allahyarham Tarudin Ismail yang sering mengibaratkan Siti seperti bunga melur iaitu lagu kegemaran arwah.
Pada masa sama, Siti juga merakamkan penghargaan kepada insan-insan terdekat yang banyak menyokong karier seninya selama 29 tahun dalam industri seni suara.
Siti juga mengucapakan terima kasih kepada peminatnya yang banyak mendukung kerjayanya selama bergelar anak seni.
Terdahulu, Siti Nurhaliza telah dianugerahkan Anugerah Khas Biduan Negara 2024 dan membawa gelaran Biduanita Negara.
Penyampaian anugerah ini telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar.
Menerusi Anugerah Khas Biduan Negara, Siti membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000, watikah penganugerahan, trofi Biduan Negara, sepersalinan songket dan sebagai seniman tamu Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar