Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Didakwa Ditahan 'Roadblock' Waktu PKP, Ini Penjelasan Fikry Ibrahim

Syafiqah Jalal 26/04/2020 | 09:54 MYT
Pelakon Fikry Ibrahim akui dia adalah individu yang diarahkan membuat pusingan semula dalam satu sekatan jalan raya, baru-baru ini.
Sebelum ini netizen mendakwa Fikry adalah individu dalam video yang diarahkan membuat pusingan U dalam sekatan jalan raya selepas gagal menunjukkan bukti alamat kediaman pada awal April lalu.
Akaun Instagram (IG) Fikry juga ketika itu dipenuhi komen netizen yang telah mengecamnya namun pelakon itu mendiamkan diri tanpa memberi sebarang penjelasan.
BACA: Video Ingkar Arahan PKP2 Tular, Netizen Dakwa Lelaki Dimarah Polis Mirip Fikry Ibrahim?
Pelakon Cik Reen Encik Ngok Ngek itu bagaimanapun menerusi temu bual program Artis Duduk Diam dalam IG Live Astro Gempak menjelaskan keadaan sebenar.
"Sebenarnya saya keluar seorang diri untuk membeli barang sahaja. Kalau betul salah, kenapa masa perjalanan saya nak beli barang lalu roadblock yang sama tidak ditahan.
"Bagaimana pun masa saya nak pulang ke rumah saja ditahan. Tapi saya faham tugas polis dan sebagai rakyat Malaysia, saya ikut arahan dengan buat u-turn.
"Tak mungkin saya saja-saja nak keluar dan membahayakan kesihatan mak saya yang sudah berusia 70 tahun. Saya rasa tak buat salah pun sebab saya masih dalam kawasan 10 kilometer radius,” katanya kepada Astro Gempak.
Dalam video yang tular itu wajahnya tidak kelihatan kerana memakai topeng namun netizen mendakwa individu tersebut ialah pelakon Fikry Ibrahim berdasarkan suara serta maklumat yang diberikan kepada polis.
Tambah Fikry lagi, dia tidak berasa kecewa kerana dituduh dan dikecam netizen di laman sosialnya di atas tindakannya kerana memahami keadaan mereka.
"Tak adalah, sejujurnya saya tak marah pun sebab faham pada ketika itu, orang tengah tertekan di rumah. Cuma saya terkejut ada budak kecil mesej di Instagram maki saya.
"Sebenarnya saya tak nak keluarkan kenyataan ketika itu kerana bimbang bertambah riuh. Tak ada apa-apa pun, semuanya hanya salah faham sahaja,” jelasnya lagi.
#Fikry Ibrahim #PKP #Roadblock
;