Hiburan
Didakwa Pernah Memiliki Akaun Aplikasi Pertemuan Homoseksual, Ini Respon Meerqeen!
Finalis Hero Remaja 2020, Meerqeen menafikan dakwaan pihak yang mengatakan dia pernah memiliki akaun di aplikasi pertemuan homoseksual.
Menurut Meerqeen, 19, dia tidak pernah mendaftar mana-mana akaun di aplikasi pertemuan dan menegaskan dakwaan itu tidak benar sama sekali.
"Untuk maklumat semua, saya tak pernah memiliki akaun dalam mana-mana 'dating app', tak kira untuk pertemuan antara lelaki dan perempuan, mahupun homoseksual, saya memang tak pernah ada akaun sebegitu.
"Saya ada pendapat tersendiri, jika saya memiliki akaun sebegitu, saya rasa diri saya murah, saya bukanlah orang seperti yang didakwa itu, jika akaun itu dilihat oleh mana-mana pihak, mungkin ada pengguna yang hanya menggunakan gambar saya," jelasnya.
Meerqen berkata demikian ketika ditemui di sidang media Finale Hero Remaja 2020 bertempat di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam petang semalam.
Dalam pada itu, Meerqeen juga berharap agar tiada lagi pihak yang membuat tuduhan tidak berasas.
"Saya harap, selepas ini tiada lagi pihak yang membuat spekulasi ataupun tuduhan yang tidak benar mengenai diri saya.
"Walaubagaimanapun, saya tak terkejut kerana tuduhan sebegini juga berlaku terhadap finalis-finalis lain, ia mungkin satu sabotaj dari pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Apa yang penting, ahli keluarga, rakan-rakan dan pihak produksi tahu mengenai diri saya yang sebenar, jadi, tuduhan sebegitu haruslah dihentikan," katanya lagi.
Di pentas akhir Hero Remaja 2020 Khamis lalu, Meerqeen telah menduduki tempat ketiga.
Naib juara disandang oleh Umar, manakala Nadhir berjaya menduduki tempat pertama.
Jabir dan Haziq pula masing-masing mendapat tempat keempat dan kelima.