Hiburan
Didakwa Tabur Fitnah Dekat Bekas Isteri Oleh Kakak Kandung Sendiri, Ini Respons Safee Sali!
Didakwa menabur fitnah terhadap bekas isteri, Fitria Elfina Maharip, 44, dalam isu penjagaan anak oleh kakak kandung sendiri, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali tampil memberi penjelasan berhubung permasalahan tersebut.
Tak Patut Masuk Campur
Safee Sali ketika ditemui Gempak menjelaskan bahawa kakaknya, Normalayati, 53, sepatutnya tidak campur tangan dalam isu rumah tangga mereka kerana tidak mengetahui konflik sebenar yang berlaku antara dirinya dan bekas isteri.
“Saya rasa tak perlu orang lain yang tahu berkenaan hal rumah tangga saya, sebab saya yang berada dalam rumah itu bersama dengan bekas isteri.
“Saya yang tidur sebantal dulu dengan bekas isteri, jadi kenapa dia yang ‘lebih sudu daripada kuah’, jadi saya hanya mampu tersenyum dengan tindakan dia,” kongsinya.
Bersikap Terbuka Demi Anak-Anak
Mengulas lebih lanjut tentang penjagaan cahaya mata, atlet berusia 40 tahun itu berkongsi dirinya bersikap terbuka serta tidak menghalang sekiranya bekas isteri mahu berjumpa dengan anak-anak.
“Saya sentiasa terbuka sekiranya dia ingin berjumpa dengan anak-anak. Jadi kalau nak cari anak-anak, cari dengan saya, cakap betul-betul, elok-elok.
“Dari segi keselamatan anak-anak dan pembesaran mereka, kita kena fikir sama-sama.
“Saya nak anak-anak membesar dengan gembira dalam keadaan baik dan tidak terganggu dengan masalah ini,” katanya.
Terdahulu Fitria selaku plaintif berkata, dia menerima dua lafaz cerai menerusi pesanan suara yang dihantar Safee, 40, melalui aplikasi WhatsApp kepada telefon bimbit anaknya, pada 11 Februari lalu.
Sementara itu, Safee memaklumkan dirinya dengan niat jelas dan terang hati melafazkan cerai berkenaan sebelum ini.
Mohd Fakhrurrazi dalam penghakimanya berkata, mahkamah mengesahkan penceraian itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
Dalam mahkamah berasingan, sebutan semula kes tuntutan nusyuz oleh Safee sebelum ini ditetapkan pada 30 April depan.
Untuk rekod, Safee dan Fitria berkahwin pada 21 Disember 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan.
Sekadar info, Fitria turut mendedahkan dia tidak dapat berjumpa dua anak perempuannya sejak awal Februari lalu. Susulan daripada itu, dia terpaksa memfailkan tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sebelum prosedur sulh kedua-dua pihak yang berlangsung pada 18 Mac lalu gagal mencapai kata sepakat.