Didi & Friends Kini Di Layar Lebar, Tampil Selebriti Terkenal Awie, Amelia Henderson, Waris!
Animasi popular negara, Didi & Friends terus melangkah jauh mengukuhkan jenamanya sebagai animasi terbaik tempatan yang mempersembahkan nyanyian lagu kanak-kanak menghiburkan, menerusi filem terbaru Didi & Friends The Movie yang akan menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 23 Februari ini.
Dengan durasi filem 104 minit, penonton bukan hanya dihidangkan dengan lagu-lagu menarik, namun buat julung kali animasi ini menampilkan pengembaraan aksi penuh hiburan dengan watak utamanya, Didi, Nana dan Jojo.
Lebih menarik, filem terbitan Astro Shaw, Warnakala Studios dan Digital Durian dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) ini turut memperkenalkan watak-watak baru seperti Torra, Nek Kura, Kapten Zee, Tok Chip.
Bintang terkenal tanah air telah menyumbangkan suara bagi mengerakkan watak tersebut, seperti Dato’ Awie (Tok Chip), Amelia Henderson (Kapten Zee),Ruminah Sidek (Nek Kura) dan Waris (Torra).
Penyanyi popular, Hael Husaini turut membuat penampilan istimewa yang mempertaruhkan suaranya untuk watak Pak Beruang dan menyanyikan lagu tema utama filem bertajuk ‘Luar Biasa’.
Dimuatkan juga lagu ‘Kembali Bersama’ yang dinyanyikan oleh kumpulan Modescape dan digubah oleh Shah, anggota kumpulan tersebut. Selain itu, watak baru yang lain juga dilihat dalam filem ini adalah Geng Torra - Sumbu, Spy-Ken, Geng Pangobots; Kesatria-Z – Ondok, Mitus, Galang, Zee, Hip, Tong, Blink dan Pod; Penduduk Muzika – Rakyat Muzika Lama, Orang Asal Manet, Rakyat Muzika Baharu. Uniknya, kesemua watak ini direka dalam bentuk haiwan terancam di Malaysia seperti harimau belang, cipan, enggang, badak sumbu dan banyak lagi.
Menyentuh mengenai kualiti filem, penonton dapat menikmati hasil produksi dan visual filem yang mengagumkan. Kesemua 11 buah lagu baru yang dihidangkan juga mampu membuat penonton menyanyi bersama (‘sing along’).
Istimewanya, lagu-lagu itu diiringi Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) dan Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) dengan diketuai oleh muzik direktor yang sama dengan OlaBola The Musical dan Puteri Gunung Ledang The Musical, iaitu Saiful Ridzuan Sharafuddin atau lebih dikenali sebagai Duan.
Jalan ceritanya pula lengkap dengan elemen mendebarkan, gembira, lucu, sedih dan mengejutkan. Justeru, filem ini bukan hanya sesuai untuk tontonan kanak-kanak tetapi pasti memikat semua lapisan umur dan latar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Warnakala Studios, Hairul Sofian Didi & Friends The Movie adalah sebuah filem unik dengan penceritaan penuh teladan serta cabaran aksi pengembaraan di luar Pekan Horey yang sesuai ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat dan umur.
"Filem ini amat berbeza sekali dengan siri televisyen yang pernah diterbitkan dari sudut ‘texturing’, ‘rigging’, ‘modelling’, animasi, warna tema dan lain-lain lagi.
"Selain unsur teknikal, Didi & Friends The Movie juga menampilkan lagu-lagu baharu yang dikarang oleh pengarah muzik terkenal, diiringi pula oleh pemuzik Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO), menjadikan lagu-lagu segar dan mudah dinikmati.
"Filem ini tidak ketinggalan dalam mengangkat hidupan liar yang hampir pupus di Malaysia dan memasyhurkan alat muzik tradisional sebagai tanda sokongan kami dalam pelestarian hidupan liar dan seni budaya. Kami harap filem ini mampu mencipta fenomena tersendiri dan diterima baik oleh penonton," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara , Raja Jastina Raja Arshad, Raja Jastina Raja Arshad rasa amat teruja filem Didi & Friends The Movie akan menemui penonton tidak lama lagi.
"Astro membesar bersama dalam menyaksikan revolusi jenama Didi & Friends dari awal kemunculan sehingga menjadi sebuah animasi terkenal di Malaysia.
"Apabila animasi ini bakal diterbitkan dalam versi filem, Astro Shaw rasa berbesar hati diberi peluang untuk terlibat sebagai penerbit, berkongsi idea dari sudut pembikinan, pemasaran dan pengedaran.
"Filem Didi & Friends The Movie membuktikan kemampuan industri animasi negara mampu bersaing setanding dengan luar negara.
"Di samping itu, filem ini juga berjaya memperlihatkan jenama Didi & Friends bukan sekadar hiburan untuk golongan umur tertentu sahaja, tetapi ia boleh dinikmati seisi keluarga dan semua latar.
"Kami yakin, Didi & Friends The Movie bakal membuat penonton dewasa juga akan menjadikan filem ini sebahagian daripada koleksi filem animasi kesukaan mereka dengan adegan-adegan mencuit hati. Kami mengharapkan karya ini dapat menjadi penanda aras buat animasi-animasi tempatan untuk terus menghasilkan karya luar biasa," ujarnya.
Istimewa buat peminat, tiket filem Didi & Friends The Movie boleh mula dibeli pada 15 Februari 2023 di 155 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bagi tayangan rasminya pada 23 Februari kelak.
Bersempena cuti sekolah akan datang, pihak pawagam-pawagam turut memberi sokongan dengan mengadakan kempen dan aktiviti menarik untuk seisi keluarga.
Selain itu, temui maskot Didi & Friends serta sertai aktiviti menarik menerusi siri jelajah Didi & Friends The Movie pada 24, 25, 26 Februari di pawagam terpilih Utara dan Selatan, 3, 4, 5 Mac di negeri Pantai Timur dan Lembah Klang, serta sekali lagi di Lembah Klang pada 10, 11, 12 Mac. Untuk butiran lanjut boleh rujuk di akaun media sosial Astro Shaw, Astro Gempak mahupun Didi & Friends.
Kisah Didi & Friends The Movie bermula apabila keterujaan Didi bertukar menjadi kekecewaan apabila Pak Atan melarangnya mengikuti pengembaraannya dan tinggal di Pekan Horey bersama rakan- rakannya yang lain. Pak Atan & Pak Beruang terpaksa pergi ke Dunia Muzika untuk mencari penawar ajaib bagi mengubati Pak Beruang yang tiba-tiba sakit.
Didi berdegil dan akhirnya mengambil keputusan untuk pergi ke Dunia Muzika seorang diri. Tetapi Nana dan Jojo mempersoalkan keputusan Didi untuk pergi sendiri dan kemudian mereka juga menyertainya. Berbagai cabaran menanti mereka di dalam dunia Muzika, termasuk bahaya besar berdepan dengan lanun langit yang menakutkan bernama Torra.
Dapatkan tiket dan saksikan filem animasi genre animasi, pengembaraan, muzikal ini di pawagam- pawagam berhampiran mulai 23 Februari 2023. Gunakan #DidiAndFriends #DidiAndFriendsTheMovie #DidiBerbulu bagi berkongsi pendapat mahupun keterujaan anda tentang filem ini. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik filem ini di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw, Astro Gempak dan Didi & Friends.