Hiburan
Dikecam Kerana Ceraikan Isteri Selepas 2 Minggu Berpantang, Ini Luahan Hati Daus AF8 Untuk Anaknya...
Penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia 8 (AF8), Daus mendedikasikan ucapan khas untuk anaknya yang baru dua minggu lahir, Ayesha Sheraz.
Daus atau nama sebenarnya, Muhd Shahril Firdaus Eli, 31, menerima kecaman selepas mendedahkan dia sudah bercerai talak satu dengan bekas isterinya, Syaza Shamimi Jalaludin Khan yang baru sahaja dua minggu melahirkan anak ketiga mereka pada Jumaat lalu.
Daus berkongsi luahan hati menerusi salah sebuah entri terbaru laman Instagram miliknya.
"Assalamualaikum kesayangan Daddy Ayesha Sheraz.. Semoga menjadi anak yang solehah, taat kepada perintah Allah okay sayang...
"Maafkan daddy lepas ni jarang tengok Ayesha & kakak-kakak... Insya-Allah janji daddy lepas ni akan jalankan tanggungjawab dengan sebaiknya untuk anak-anak daddy...
"Allah tengah menguji... Doakan Daddy berjaya di dunia & di akhirat... Maafkan semua kesalahan daddy bila Ayesha & kakak-kakak dah besar nanti..
"Mereka mampu berkata apa-apa.. Daddy tak kisah dah... Yang penting daddy dah usaha untuk perbaiki keadaan... Dah besar nanti jaga mama elok-elok okay?
"Jangan buat mama sedih... Daddy sayangkan anak-anak daddy dunia akhirat," tulis Daus panjang lebar.
Di ruangan komen, rata-rata peminat Daus mendoakan agar Daus sentiasa kuat menghadapi ujian ini.
Daus yang pernah popular menerusi lagu Kenapa menceraikan isterinya secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Bintulu, Sarawak dengan talak satu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga anak iaitu Delysha Senzela, 5, Myesha Sehrish, 3, dan Ayesha Sheraz yang baru dilahirkan dua minggu lalu.