Laman Utama
Disamakan Dengan Lembu Kerana Tindik Hidung, Respons Masya Masyitah - “Sebenarnya, Ada Betulnya Juga!”
Penyanyi Masya Masyitah mengakui menerima respons yang baik daripada peminat terhadap single terbaharunya, Simpanan yang diluncurkan pada 19 Ogos lalu.
Sungguhpun begitu, pemenang program Ceria Popstar Musim Kedua itu berkata, dia turut menerima teguran disebabkan penampilannya yang sedikit daring berbanding sebelum-sebelumnya.
Masya berkata, ramai yang tidak bersetuju apabila menyaksikan pemilihan pakaian selain aksesori yang digayakan menerusi klip video berkenaan.
“Penerimaan peminat ada ok, ada tak ok tapi mostly banyak yang ok. Dari segi pemakaian sahaja orang ramai yang tak berapa setuju sebab saya berhijab.
“Saya berimej begitu kerana mengikut kehendak klip video. Lebih-lebih lagi tajuk lagu pun Simpanan, jadi orang kata nak cuba gaya yang lebih groovy sedikit,” katanya kepada Gempak.
Masya berkata demikian ketika ditemui pada Malam Gala Abang Long Fadil 3 yang berlangsung di Suria KLCC, semalam.
Menerusi klip video Simpanan juga, Masya dilihat mengenakan tindik pada bahagian hidung. Hal ini menimbulkan cakap-cakap dalam kalangan netizen yang mendakwa Masya kelihatan seperti lembu.
Diminta mengulas mengenai hal itu, Masya sambil tertawa berkata: “Saya tak nak kata apalah… sebenarnya, ada betulnya juga!”
“Jujurnya, saya suka tengok trend fesyen sekarang dan untuk pengetahuan, saya tidak menindik hidung saya secara kekal. Ia merupakan tindik palsu yang pakai buang… nak bagi nampak ‘jahat’ dalam klip video.
“Kalau tentang komen netizen, saya tak hiraukan dan tak balas sebab kalau nak jawab, kita pun tahu hukum hakam. Saya dah terima dan ambil risiko pakai macam tu, jadi saya tak bolehlah bising sangat. Bila mereka tegur, saya terima dan perlahan-lahan cuba ubah ke arah yang lebih baik,” katanya menutup perbualan.
Klip video Simpanan diarahkan oleh Elfie Nazari dan sejak dilancarkan, ia telah menerima sehingga 23,000 jumlah tontonan.