Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Disyaki Perlekeh Darurat, Azwan Ali Sah Dipanggil Bukit Aman!

Hanafis Haris 21/01/2021 | 14:16 MYT

Pengacara popular Azwan Ali dipanggil oleh pihak Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung penularan sebuah klip video baru-baru ini.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Menerusi laporan Astro Awani, Huzir menjelaskan Azwan Ali dipanggil kerana dipercayai memperlekehkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong.

"PDRM (Polis Diraja Malaysia) mengesahkan menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan terhadap klip video Azwan Ali kerana didapati telah memperlekehkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong.

"Rakaman video berdurasi 41 saat tersebut telah ditularkan oleh pemilik akaun Facebook Zai Mikail pada 12 Januari 2021," katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Tambah Huzir, siasatan tersebut dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Pada 21 Januari 2021, Azwan Ali (DIVA AA) telah dipanggil ke Pejabat USJT, Bukit Aman bagi membantu siasatan.

"Siasatan akan diteruskan untuk mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang telah memuat naik dan menularkan klip video tersebut," katanya lagi.

Dalam pada itu, PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform tersebut sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menganggu gugat keharmonian negara.

Tegas Huzir, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Terdahulu, Azwan Ali pernah mencetuskan kontroversi termasuk berselfie ketika rakyat Malaysia sedang berkabung menyambut kepulangan jenazah warga negara ini yang terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.

Selain itu pengacara tersebut juga pernah didenda RM17,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumur selepas mengaku bersalah memuat naik video menghina petugas Hospital Putrajaya dalam mengendalikan wabak COVID-19.

#Azwan Ali #Darurat #DivaAA
;