Laman Utama
Ditemui Mati, Yoo Joo Eun: “Hati Saya Menjerit Untuk Tidak Mahu Hidup Lagi”
Satu lagi berita tak enak datang dari dunia hiburan Korea Selatan.
Seorang lagi bintang mereka, Yoo Joo Eun memilih membunuh diri sebagai pengakhiran hidupnya.
Berita sedih itu disampaikan oleh abang Joo Eun, yang memaklumkan adiknya meninggal dunia pada usia 27 tahun melalui akaun Instagram milik pelakon tersebut pada 29 Ogos 2022.
Tanpa menyembunyikan fakta, Joo Eun dikatakan telah meninggalkan nota sebelum mengambil nyawanya sendiri dan mahu pesanan tersebut diumumkan kepada peminat selepas pemergiaannya.
“Pada 29 Ogos 2022, adik saya, Joo Eun sudah meninggal dunia dan pergi ke tempat yang selamat. Kepada semua yang mengenalinya, mohon berikan doa buat Joo Eun,” tulisnya.
Dalam surat tersebut, Joo Eun meminta maaf kepada ibu, bapa, nenek dan abangnya kerana meninggalkan mereka.
“Hati saya menjerit untuk tidak mahu hidup lagi. Hidup tanpa saya mungkin kosong, tapi kalian tolong hidup dengan lebih berani. Saya akan memerhatikan semuanya.
“Jangan menangis, nanti anda terluka. Saya tidak sedih dan berasa tenang. Saya kira mungkin ini (keputusan) yang telah lama saya fikirkan,” luah pelakon Big Forest itu.
Mendiang juga meninggalkan pesanan berbunyi: “Saya telah hidup dengan bahagia dan selayaknya, sebab itu saya rasakan ia sudah cukup untuk saya. Jadi jangan cari kesalahan.
“Saya tidak mati, jadi semua orang tolong hidup dengan baik. Saya harap ramai akan datang ke majlis pengebumian dan mahu melihat anda semua terlebih dahulu sekaligus memastikan sesiapa yang pernah melalui kesukaran hidup.”
Wanita itu juga mengaku sepanjang hayat, dia sangat mahu menjadi pelakon. Namun hidup dalam dunia glamor sangat sukar dan dia tidak lagi dapat berbuat apa apa kecuali berasa tidak berguna.
“Tuhan sayang saya. Saya tidak akan dihantar ke neraka kerana faham perasaan dan akan menjaga saya. Jadi saya harap semua pun jangan bimbang tentang saya,” katanya sambil mengucap terima kasih kepada semua pihak.
Pada akhir pesanan dia menulis: “Mak, ayah, saya sayang kalian. Jangan menangis. Tolong.”
Diketahui majlis pengebumian Joo Eun yang juga membintangi drama Never Twice yang menjadi naskhah terakhirnya pada 2019 akan diadakan pada 31 Ogos ini di Ajou University Hospital.
Sumber & Foto: Soompi