Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Ditimpa Banyak Dugaan, Sam Nuhair Hampir Putus Asa Jadi Penyanyi

Mya Amri 10/03/2017 | 12:29 MYT
Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia 2014 (AF2014), Sam Nuhair akui tidak mudah untuk bergelar anak seni dan hampir berputus asa.
Menurut Sam atau nama sebenarnya Syamila Nurhair Zainordi berkata selepas melalui pelbagai dugaan, dia membina semula semangatnya untuk berjuang dalam industri hiburan atas dorongan rakan dan keluarganya.
“Sewaktu saya berada dalam AF2014 semuanya telah tersedia di depan mata, diajar cara berdepan dengan media, pentas untuk membuat persembahan dan juga sesi fotografi.
“Tapi bila dah tamat AF memang saya rasa sangat lain, barulah saya terfikir tidak mudah rupanya untuk bergelar seorang anak seni.
“Perlu bijak memilih dengan siapa kita bekerja untuk keluarkan lagu kalau tersalah pilih alamatnya bernasib malang.
“Dugaan terbesar menimpa saya apabila ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab dan mengalami kerugian hampir RM30,000 untuk terbitkan single kedua saya.
“Disebabkan perkara itu, secara jujurnya saya pernah hampir putus asa untuk menjadi penyanyi.
“Mujurlah ada rakan-rakan dan keluarga yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan saya tak nafikan semangat kena kuat jika ingin bertahan dalam bidang seni,” katanya kepada Astro Gempak.
Tambah Sam lagi, dia mahu melupakan kenangan buruk itu dan memulakan memori baru sebagai anak seni.
“Bila difikirkan kembali agak rugi jika saya tidak meneruskan usaha saya, rasa seperti sia-sia sahaja belajar dalam AF2014.
“Bukan senang nak dapat peluang sebegitu dan kalau awal-awal pun dah putus asa, saya rasa tak mudah untuk saya berdepan dengan dugaan yang lebih besar di masa akan datang.
“Jadi untuk tahun ini saya akan berikan yang terbaik bersama pihak syarikat pengurusan saya, JoePRC International,” jelasnya.
Sam muncul dengan single terbaru berjudul Kau Menjauh yang dicipta olehnya ketika masih berada di alam persekolahan.
Kau Menjauh mengisahkan tentang seorang kekasih yang berlaku curang.
Teks oleh: Mya Amri
#Penyanyi #Penyanyi #Sam Nuhair #Nuha AF2014
;