Berita
Dituduh Curi Wang RM100 Anak Istimewa Yang Menonton Pawana Isabella, Rupanya Erma Fatima Dedahkan...
Niat murni pengarah Erma Fatima ingin membantu anak istimewa yang datang menonton teater Pawana Isabella yang berlangsung di Istana Budaya baru-baru ini disalah erti.
Malah, Erma dituduh sanggup mencuri wang kertas bernilai RM100 milik individu yang digelar ‘anak syurga’ itu ketika berjumpa dengannya.
Ia berpunca selepas Erma memuat naik sebuah video di Instagram ketika berjumpa dengan anak istimewa itu yang membawa sejumlah wang dikumpul untuk membeli tiket menonton teater tersebut.
Menerusi video terbabit, Erma dilihat telah mengeluarkan semua wang yang dikumpul dari sampul berupa wang kerta termasuk duit syiling.
Ketika memasukkan kembali semua duit tersebut di dalam sampul itu, dia dilihat telah mengasingkan wang kertas RM100 kemudian menyembunyikan semua wang kertas di bawah meja dan menyusunnya kembali ke dalam sampul.
Rata-rata netizen telah menuduh Erma sengaja mahu menganiaya anak istimewa tersebut apabila dilihat seperti mencuri wang kertas RM100.
Menerusi entri tersebut lagi, Erma memberitahu hatinya tersentuh melihat kesungguhan anak tersebut yang untuk datang menonton teater arahannya.
“Anak syurga ini naik bas dari Jalan Ipoh ke Kampung Bharu kemudian jalan kaki ke Istana Budaya dengan duit syiling yang dia kumpul sendiri untuk tengok Teater Pawana Isabella. Sungguh-sungguh menyentuh hati aku,” tulisnya.
Kecewa dengan tuduhan warganet, Erma sekali lagi memuat naik video tersebut dengan cara ‘slo-mo’ bagi menunjukkan apa sebenarnya yang cuba dilakukan.
Malah, Erma menerusi kapsyennya telah menjelaskan perkara sebenar dan memberitahu niat sebenarnya ingin membantu.
“Memandangkan banyak sangat yang berprasangka buruk maka biarlah saya jelaskan supaya perkara yang baik ini tidak mengundang dosa pada kalian yang persepsinya jauh tersasar.
“Adik ini datang beli tiket dua hari sebelum show. Saya diberitahu oleh penjaga kaunter tiket mengenai kedatangannya lalu saya bayar duit tiket itu dan ambik duit yang dia bayar tiket itu untuk saya pulangkan.
“Harga tiket yang dia beli adalah RM68. Saya jumpa dia di hari dia datang show dua hari kemudian. Saya letak duit RM100 tu dalam sampul tu untuk saya sedekah pada dia.
“Saya sorok ke tepi sebab saya takut dia marah kerana saya difahamkan yang dia ada buat duit seringgit bentuk love dan bagi pada semua yang jaga kaunter. Bila dia orang tak ambik dia marah.
“Takanlah saya nak ambik duit adik ni.. Masya-Allah.. Sejauh itu pandangan anda pada saya.
“Dan didepan saya itu ada beberapa orang yang duduk melayan dia melihat perbualan saya dengan dia.
“Kalau sekalipun jahat saya ni.. Tak adalah sampai saya nak menganiaya anak syurga ini yang sanggup kumpul duit meniaga dia untuk tengok show saya. Astagfirullahulazimmm.” jelasnya.
Rata-rata pengikutnya turut berang dengan pihak yang cuba menuduhnya tanpa bertanya serta usul periksa.
Teater arahan Erma Fatima itu dipentaskan di Istana Budaya sejak 21 Ogos lalu dan sepatutnya berakhir pada 1 September lalu.
Mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton, persembahan teater Pawana Isabella akan disambung selama empat hari lagi, bermula 13 hingga 16 September ini.
Naskah lakonan Syafiq Kyle, Janna Nick, Azar Azmi, Datuk Afdlin Shauki, Ozlynn dan Johan itu kembali ke pentas Istana Budaya sempena sambutan Hari Malaysia.