Hiburan

DJ Lin Bedah Buang Fibroid Esok, Bakal Berehat Sebulan

Amri Hassan
29/04/2019
02:05 MYT
Sponsor Banner
DJ Lin Bedah Buang Fibroid Esok, Bakal Berehat Sebulan
Penyampai radio popular DJ Lin bakal dimasukkan ke hospital untuk menjalani rawatan membuang ketumbuhan fibroid esok.
Ketumbuhan sebesar 5 sentimeter itu telah disedarinya sejak tahun lalu namun menangguhkan pembedahan kerana kesibukan bekerja.
"Sebenarnya saya dalam kesakitan sekarang, disebabkan berlaku pendarahan yang kerap jadi badan pun lemah.
"Tetapi, demi program Suria FM yang pertama kali diadakan sebegini, saya gagahkan diri dan perlu turun untuk meraikan dan pada masa sama memantau.
"Jadi, ini menjadi acara terakhir saya yang sempat disertai sebelum bercuti selama sebulan hingga dua bulan mulai Selasa," katanya ketika ditemui pada majlis Riuh Raya Suria FM di D'Empangan Putrajaya baru-baru ini.
DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 41, dijadualkan dibedah pada pukul 1 tengahari esok di sebuah pusat perubatan di Damansara dan pembedahan itu akan mengambil masa selama lebih dua jam.
"Saya akan dirawat di hospital selama dua ke tiga minggu dan nampak gayanya akan berpuasa di dalam wad.
"Apabila melibatkan pembedahan besar dan jahitan dalaman, ia memerlukan tempoh yang lama untuk betul-betul sembuh," tambah Pengurus Program Suria FM itu lagi.
Menafikan cuba menyembunyikan kesakitan yang dialami daripada pengetahuan ramai, DJ Lin akui dia enggan menjadikan sakit sebagai alasan untuk tidak bekerja.
"Saya tahu ada fibroid sudah lama tetapi ketika itu saiznya masih kecil, saya utamakan kerja terlebih dahulu.
"Bagi saya, bukannya merahsiakan penyakit tetapi selagi belum kritikal dan saya boleh tempohi lagi saya akan berjuang.
"Tetapi sejak hujung tahun lalu saya sentiasa alami pendarahan yang kerap dan banyak. Pastinya ada sesuatu yang tidak kena, jadi saya segera membuat pemeriksaan," katanya yang dijaga rapi oleh dua doktor pakar sejak tahun lalu.
Sepanjang tempoh terbabit, DJ Lin hanya bergantung pada ubat-ubatan untuk terus menjalani kehidupan seharian.
DJ Lin sebelum ini dikejarkan ke hospital pada dua minggu lalu selepas mengalami masalah pendarahan dan kurang oksigen dalam badan akibat fibroid.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar