Hiburan

“DJ Lin Tak Perlu Letak Jawatan, Prestasinya Bagus” - Pengerusi Star Media Group

Amri Hassan
19/01/2024
09:46 MYT
Sponsor Banner
“DJ Lin Tak Perlu Letak Jawatan, Prestasinya Bagus” - Pengerusi Star Media Group
Pengerusi Star Media Radio Group (SMRG) merangkap Ahli Lembaga Pengarah Star Media Group Bhd, Datuk Dr. Mohd Aminuddin bin Mohd Rouse menyifatkan Pengurus Besar dan penyampai radio Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin sebagai mangsa.
Didesak dengan pelbagai tohmahan dan kecaman, Mohd Aminuddin menegaskan DJ Lin tidak perlu meletakkan jawatan.
“Banyak netizen mengeluarkan macam-macam posting dan tuduhan, hampir semua mengecam DJ Lin. Seolah-olah dia bertanggungjawab kenapa kontrak Tyzo tidak diteruskan.
“Ada yang desak pecat dan letak jawatan. Serangan termasuk pada anak-anak DJ Lin. Jadi, siapa mangsa sebenarnya?
“Akibat daripada isu yang tercetus sejak sembilan hari lalu, kredibilitinya menurun, reputasi terjunam.
“Mungkin ini tujuan menjatuhkan DJ Lin. Tapi DJ Lin Pengurus Besar Suria FM, bermakna serang Suria FM,” ujarnya pada sidang media di Menara Star, Petaling Jaya pada Jumaat.
Tambah Mohd Aminuddin, DJ Lin antara penyampai radio Suria FM yang komited dan sentiasa memberikan keutamaan terhadap kerjayanya.
Malah, segmen Suria Cinta yang dikendalikan DJ Lin antara yang meraih jumlah pendengar tertinggi.
“Ketaatan DJ Lin tak boleh dipertikaikan, siang hari dia GM, malam dia announcer, weekend dia tidur. Mana-mana GM keutamaan adalah kewangan, untuk menentukan syarikat beruntung.
“Dia mula 2021, ini pertama kali Suria buat keuntungan, 2022 meningkat. Berasaskan ini, saya puas hati prestasi DJ Lin sebagai GM.
“Tiap-tiap minggu paling tinggi segmen DJ Lin dan Cik Piah. Tiap-tiap minggu kedua-duanya berlumba-lumba. Daripada segi penyampai saya tiada masalah, tak ada sebab dia perlu letak jawatan. Prestasinya bagus!” tambahnya.
Terdahulu, pengumuman penamatan kontrak Tyzo menjadi kecoh apabila ramai tidak berpuas hati dengan pemberhentian penyandang Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-35 (ABPBH 35) itu.
Tindakan dilakukan pihak pengurusan stesen radio milik Star Media Group Berhad itu disifatkan sebagai tidak wajar sedangkan segmen Suria Petang dikendalikan Tyzo bersama Sharifah Shahirah atau Shiera adalah slot paling popular pada waktu petang.
Tak berpuas hati dengan tindakan stesen radio itu, ramai mengugut mahu memboikot Suria FM.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar