Laman Utama
Dolla Bangga Bakal Satu Pentas Dengan NCT DREAM, WayV, KARD & ALICE!
Kumpulan Dolla melangkah cemerlang tahun ini apabila dapar beraksi di pentas dunia sebaris dengan bintang sensasi K-Pop iaitu NCT DREAM, WayV, KARD dan ALICE dalam Seen Festival in Kuala Lumpur 2023
Dianjurkan oleh CM Live, konsert mega yang sememangnya dinantikan peminat gelombang K-Pop tempatan itu akan bermula pukul 6 petang di Arena Axiata, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Dolla yang dianggotai Sabronzo, Syasya, Angel dan Tabby menzahirkan rasa berbesar hati dan sudah tidak sabar untuk menghiburkan semua yang hadir pada acara itu nanti serta menyifatkan kesempatan ini merupakan satu peluang keemasan yang cukup dinantikan mereka.
“Kami merasa sangat bangga apabila dibariskan dengan penghibur hebat dari Korea Selatan. Dapat berkongsi satu pentas dengan nama-nama handalan itu adalah impian yang sangat kami idam-idamkan sejak ceburi bidang muzik.
“Peluang ini amat bermakna secara peribadi buat kami sebagai artis yang masih merangkak kukuhkan nama. Ini adalah satu pengiktirafan terbesar untuk karier kami apalagi memang cita-cita Dolla ingin tembusi pasaran antarabangsa,” ujar mereka.
Kumpulan yang terkenal dengan lagu-lagu hit seperti Watch Me Glow, Impikan, BAD, dan Berani itu berjanji bakal menyajikan persembahan yang jauh lebih bertenaga sekali gus membuktikan penghibur tempatan mempunyai ‘bisa’ tersendiri.
“Kami mahu pamerkan corak persembahan yang setara dengan kualiti antarabangsa sebagaimana artis K-Pop selain mengintai peluang untuk saling berkenalan dengan bintang Korea yang ada nanti demi luaskan jaringan,” kata mereka.
Menariknya lagi, Seen Festival in Kuala Lumpur 2023 ini akan menampilkan pentas berbentuk T bagi memudahkan peminat mendekati idola mereka selain merasai detik yang menggembirakan apabila dapat bertentang mata dengan artis pujaan mereka itu.
Kesungguhan empat penyanyi itu mempamerkan mutu penghibur bertaraf dunia sentiasa menjadi pujian serta telah meraih pelbagai pencapaian dengan profil karier yang sangat membanggakan menjelang hampir tiga tahun kumpulan itu ditubuhkan.
Cukup menyerlah kerana personaliti berani serta gaya fesyen terkini, mereka menjadi buruan pelbagai jenama gergasi untuk menjadi duta mahupun jurucakap seiring karier seni yang tidak pernah sepi dengan lagu-lagu berkualiti yang secara konsisten dilancarkan dari semasa ke semasa.
Justeru, mereka berhasrat mahu melancarkan lima single baharu sepanjang tahun ini dan kini dalam proses pemilihan lagu yang sesuai.