Laman Utama
Dr. Sharifah Mazlina Ke Antartika Lagi, Bawa Protege Lelaki Umur 20 Tahun Belayar 12 Hari
Selepas beberapa kali melakar kejayaan melalui ekspedisi pelayaran di Antartika, Dr. Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir akan sekali lagi meneruskan cabaran sama tahun ini.
Berbezanya, Sharifah Mazlina akan membawa protegenya, Muhammad Khairul Akmal Adam untuk pelayaran selama 12 hari di kawasan paling sejuk di dunia itu bermula 17 Mac ini.
Mengulas lanjut, ekspedisi yang memfokuskan tentang kesan pemanasan global dan perubahan iklim yang diberi nama Pelayaran Antartika Climate Force 2041 itu akan turut disertai 91 wakil negara seluruh dunia.
"Sepanjang pelayaran itu, peserta akan menjalankan pelbagai program berkaitan pemanasan global dan perubahan iklim.
"Saya dan Akmal juga akan membentangkan kertas kerja mengenai cadangan untuk dunia memastikan pemanasan global boleh dikawal dengan lebih baik pada masa akan datang," katanya.
Tambah pengasas badan bukan kerajaan (NGO) All Women Empowerment To Accelerate (Aweta) itu lagi, jemputan untuk melakukan ekspedisi yang dimulai di Ushuaia, Argentina itu diterima dari pengembara tersohor dunia, Robert Swan sejak tahun lalu.
Dalam pelayaran itu juga peserta akan dibawa ke kawasan bongkah ais bagi menyaksikan sendiri impak pemanasan global.
Katanya, perubahan cuaca yang tidak menentu sekarang ini juga berlaku berikutan pemanasan global melampau. Tsunami dan banjir antara impak kepada pemanasan global yang mencairkan Antartika ketika ini.
"Pengalaman saya mengembara di Kutub Utara dan Selatan sebelum ini memberi peluang untuk saya lebih mendalami fenomena alam.
"Kami akan bentangkan cadangan kepada peserta seluruh dunia dan berharap ia dapat mengubah stigma masyarakat dunia mengenai pentingnya mengawal pemanasan global," katanya.
Sementara itu, Adam berkata, dia bertuah kerana terpilih menyertai pelayaran ini yang dianggap peluang terbaik seumur hidup.
Katanya, dalam tempoh hanya beberapa bulan dia perlu membuat persiapan mental dan fizikal bagi mengharungi pelayaran di benua ais terbesar di dunia.
"Saya akan bawakan pengalaman pelayaran ini untuk dikongsi bersama masyarakat dan generasi muda di Malaysia kelak.
"Pengalaman ini akan disebar luas kelak dalam pelbagai medium komunikasi agar masyarakat tahu kepentingan menjaga alam sekitar dan mengawal pemanasan global," katanya.
Sharifah Mazlina pertama kali belayar di Antartika pada 2004 dengan perjalanan sejauh 1,127 kilometer. Ekspedisi keduanya diteruskan pada tahun 2007 dan melengkapkan hatrik pada 2011 hingga digelar Polar Hattrick Explorer.
Foto: Harian Metro