Viral
Dr Zulkifli Al-Bakri Nasihat Pasangan Bercerai Elak Buka Aib - “Jangan Cederakan Emosi Anak”
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menasihatkan agar pasangan suami isteri mengelak daripada mengungkit keaiban atau kekurangan masing-masing terutamanya selepas berlaku perpisahan.
Elak Buka Aib Pasangan
Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, beliau berkata setiap individu perlu memberi ruang untuk masing-masing memulakan kehidupan baharu dengan cara yang lebih baik, tanpa menyimpan dendam.
“Sebagai manusia, kita digalakkan untuk mengelakkan daripada mengungkit keaiban atau kekurangan pasangan, terutama selepas perpisahan.
“Islam mengajarkan melihat kebaikan dan mengingati jasa pasangan sepanjang perkahwinan.
"Ini kerana ketika cinta masih ada, segala kekurangan tidak dihiraukan. Namun ketika perasaan berubah, kekurangan yang kecil sekali pun menjadi hal yang diangkat-angkat,” kongsinya dalam satu artikel.
Jaga Emosi Anak-Anak
Tambah Zulkifli lagi, sangat penting untuk sentiasa menjaga hati anak-anak yang mungkin menjadi mangsa dalam perpisahan ibu bapa.
“Jangan sekali-kali mencederakan emosi kerana anak-anak mempunyai hak merasai kasih sayang ibu bapa.
“Anak-anak adalah amanah Allah dan kita wajib menjaga kebajikan mereka dengan penuh perhatian.
“Dalam menghadapi perpisahan, doa dan munajat kepada Allah adalah sandaran utama sebagai hamba-Nya. Berdoalah agar kita diberikan kekuatan, kesabaran dan petunjuk dalam melalui ujian ini,” tulisnya.
Jaga Maruah
Akhirnya, Zulkifli turut menyarankan agar menjadi seorang yang sentiasa mendamaikan dan menasihati dengan kebaikan, bukan sekadar menjaga kesolehan diri sendiri.
“Perkahwinan adalah satu institusi yang amat berharga dan ia memerlukan pengorbanan, keikhlasan dan kesabaran kedua-dua pihak.
"Namun, jika perceraian adalah jalan yang terbaik, lakukanlah dengan cara yang paling baik, menjaga maruah dan harga diri masing-masing," nasihatnya.
Terdahulu, heboh pelbagai berita perpisahan antara pasangan terutama dalam kalangan selebriti dan pempengaruh yang menjadi topik bualan ramai dalam media sosial.
Must-Watch Video