Drama
Drama I.D, Angkat Isu Jenayah Siber, Bakal Tayang 23 Februari Ini!
Astro Originals, ‘I.D’ bakal mempersembahkan drama siri premium terbaharu, ‘I.D’ Swipe, Steal, Love!, hasil karya daripada pengarah Projek Anchor SPM, Razaisyam Rashid.
Siri premium I.D bakal mendedahkan tentang insiden serta isu-isu yang berlaku di media sosial, terutamanya berkaitan keselamatan data dan jenayah siber akibat salah laku penggunaan data peribadi.
Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, juga merangkap Penerbit Eksekutif I.D, berkata, drama ini bakal memberi pendedahan kepada masyakat tentang penceritaan sebenar di media sosial akibat aktiviti tidak bermoral yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Naskhah ini bakal mengetengahkan isu terkini iaitu media sosial serta jenayah siber yang wujud dalam masyarakat kita dan dipersembahkan dalam bentuk hiburan dengan gabungan aksi, romantik dan persahabatan.
“Menariknya lagi, I.D juga digarap oleh pengarah kreatif iaitu Razaisyam Rashid yang amat terkenal dengan sentuhan visual tersendiri, di samping membariskan para pelakon hebat tanah air dalam menjayakan watak.
“Kami mengharapkan subjek yang diketengahkan menerusi I.D dapat menarik perhatian ramai, seterusnya menjadi topik yang boleh dibincangkan di luar sana,” katanya pada Sidang Media I.D di Dadi Cinema Pavillion Kuala Lumpur pada Selasa.
Berita Trending: “Ya, Saya Memang Marah! Cerita Benda Merepek” - Isu Sekolah, Naim Daniel Cadang Konten Podcast Perlu Dipantau
Siri drama premium 8 episod ini turut menampilkan barisan bakat pelakon terkenal tempatan termasuk Naim Daniel (Aidi Zabran), Amelia Henderson (Anggun Zahara), Aedy Ashraf (Jazman Rahim), Datuk Rosyam Nor (Rahim Abadi), Ellyza Azizi (Alia Mukhriz), Shantini Venugopal (Patti Shanti), Joyce Harn (Jo), Jo Kukathas (Dato Kumari Lakshmi) dan ramai lagi.
Saksikan I.D bermula bermula 23 Februari, setiap Jumaat jam 9 malam.
Siri drama premium terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Alpha47 ini bakal bersiaran pada 23 Februari, 9 malam, menerusi Astro Premier (Saluran 410) atau boleh menyaksikan episod awal di setiap minggu bermula 12 tengah malam menerusi platform On Demand dan Astro GO.
Sinopsis I.D
I.D, mengisahkan Aidi, seorang pereka aplikasi yang telah mencipta BEBAS App, aplikasi penting yang digunakan sewaktu penularan wabak dengan menempatkan maklumat-maklumat pengguna bagi tujuan pemakluman info semasa. Jazman, seorang pengurus syarikat di mana tempat Aidi bekerja telah memecat Aidi tanpa sebarang alasan yang munasabah.
Dendam Aidi terhadap Jazman terus memuncak, ditambah pula apabila melihat kemesraan Anggun, gadis idaman Aidi, sering bersama Jazman. Akibat dendam, Aidi telah mencuri 27.7 juta maklumat pengguna daripada BEBAS App dan mencipta watak baharu iaitu Tengku Remy di alam maya untuk berkenalan dengan Anggun.
Data yang digodam oleh Aidi juga telah dijual kepada pihak yang tidak bertanggungjawab demi mendapat keuntungan yang berlipat ganda. Namun tanpa disedari, aktiviti haram yang dilakukan ini telah menjerumus kepada masalah besar yang bakal menimpa Aidi.