Laman Utama

Dramatik! Netizen Diberi Kuasa Veto Tentukan Pengakhiran Hati Yang Dikhinati

Maliah Surip
13/04/2021
06:20 MYT
Sponsor Banner
Dramatik! Netizen Diberi Kuasa Veto Tentukan Pengakhiran Hati Yang Dikhinati
Drama bersiri Hati Yang Dikhianati terbitan Astro Prima dan syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd. baru memulakan siarannya.
Apa yang menarik, naskhah adaptasi melayu daripada telenovela popular Venezuela, My Three Sisters atau lebih dikenali dengan judul asal dalam Bahasa Sepanyol iaitu Mis Tres Hermanas ini dibikin tanpa penghujung yang ditetapkan oleh pengarah.
Sebaliknya, para penonton atau netizen diberi kuasa penuh untuk menentukan bagaimana drama yang dibarisi oleh Isyariana, Amar Baharin, Mona Allen, Zamarul Hisham, Che Puan Syamim Farid, Afifah Nasir, Arena Iman, Shah Iskandar, Mia Nasir, Fazlina Ahmad Daud dan Sahronizam Noor akan berakhir.
Tidak hanya itu, buat julung kalinya struktur naratif penceritaan dan pembinaan watak naskhah ini juga akan ditentukan berdasarkan konsep model interaktif terbuka atau ‘open-ended’ yang dipengaruhi oleh maklum balas audiens dan rekod jumlah tontonan dari semasa ke semasa.
Jumlah keseluruhan episod untuk drama adaptasi ini juga turut bergantung kepada penerimaan penonton.
"Format sebegini mungkin agak baru untuk masyarakat Malaysia. Namun, ia sebenarnya sudah popular dan sering diguna pakai oleh ramai content creator di luar negara. Antara naskhah terkenal antarabangsa yang memberi inspirasi kepada kami untuk berkarya termasuklah Hollyoaks dan Eastenders terbitan BBC serta General Hospital terbitan ABC.
"Ketiga-tiga naskhah tersebut sudahpun mempunyai ribuan episod dan masih lagi ditayangkan sehingga kini. Mengikut rekod juga, ramai bintang-bintang telah dilahirkan menerusi penerbitan naskhah ini.
Kemunculan media baharu telah mengubah cara audiens menikmati sesebuah kandungan pada era digital ini.
Mereka juga lebih ekspresif dan mempunyai idea tersendiri yang ingin kami raikan bersama. Walaupun ini merupakan sebuah taruhan yang berani, namun kami yakin format ini akan disambut baik oleh penggemar drama Melayu yang mahukan kelainan," ujar Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh.
Sehubungan itu, netizen boleh mula menghantarkan sebarang idea, cadangan atau maklum balas untuk drama Hati Yang Dikhianati selepas dua minggu drama ini mula ditayangkan iaitu pada 23 April 2021 di platform rasmi Gempak.
Karya Mis Tres Hermanas versi Malaysia ini diarahkan oleh sutradara Riza Baharuddin serta turut menampilkan barisan penulis skrip yang diketuai oleh Eenaz Mokhtar.
Drama Hati Yang Dikhianati bakal bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 12 April 2021 di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar