Laman Utama
Dua Wanita Gembira Hidup Bermadu, Kongsi Kasih... Duduk Serumah - "Kami Tak Ada Rasa Dengki"
Tidak semua kaum wanita rela hidup bermadu kerana ramai beranggapan ia pahit untuk ditelan, apa lagi berkongsi kasih.
Namun lain bagi Siti Nor Aisyah Saawal, 36, dan Marzurah Abdul Rahman, 23, apabila kehidupan bermadu antara mereka tidak mendatangkan masalah walaupun berkongsi suami, Mas Nawi Yusof, 41.
Sebaliknya kata kedua-dua wanita itu, mereka sangat gembira kerana dapat berkongsi kasih dan duduk serumah di Bertam Hulu, Melaka.
Izin suami kahwin
Berkongsi pengalaman itu, Siti Nor Aisyah, isteri pertama berkata, dia mengenali madunya sejak Marzurah bersekolah di tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ade Putra, Masjid Tanah, Melaka.
"Apabila suami minta berkahwin dengan Marzurah selepas tamat tingkatan lima, saya tidak ada halangan sebaliknya membenarkan dia berkahwin. Tidak ada rasa marah, iri hati atau kecil hati terhadap suami.
"Saya juga yang mengatur majlis pertunangan dan pernikahan mereka dan Alhamdulillah sudah hampir lima tahun mereka bernikah, kami hidup gembira," katanya kepada Utusan Malaysia.
Siti Nor Aisyah yang mempunyai empat anak berusia antara empat hingga 19 tahun berkata, mereka sama-sama membantu suami menguruskan kedai menjual pelbagai makanan yang terletak berhampiran Hutan Rekreasi Sungai Udang.
Katanya, kedai berkenaan menjual pelbagai jenis makanan tradisional istimewa seperti dodol cair, keropok, belacan dan cencaluk.
Terima lamaran
Sementara itu, Marzurah yang mempunyai seorang anak berusia empat tahun berkata, dia menerima lamaran suami dan madunya sebaik sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2017.
"Saya terima lamaran itu begitu juga ibu bapa saya. Walaupun ramai kata hidup bermadu penuh gelora, namun saya yakin boleh hidup bahagia dan syukur kami hidup penuh aman dan damai.
"Saya dapat diterima semua anak tiri dan kami hidup di bawah satu bumbung. Setakat ini, kami tidak ada rasa iri hati atau dengki kerana segala masalah kami berkongsi bersama atasinya," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia