Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Dulu Di Sekolah Saya Selalu Ulang Pakai Baju Snoop Dogg…Tak Sangka Sekarang Dapat Bekerjasama Dengan Dia!” – Joe Flizzow

Fiza Kamarudin 22/12/2021 | 05:40 MYT

Joe Flizzow tidak menyangka dapat bekerjasama dengan ikon rap dunia, Snoop Dogg yang telah memilih dirinya bekerjasama dalam album terbaharu, Snoop Dogg Presents The Algorithm (The Global Edition) untuk pasaran antarabangsa.

Menurut Joe, dia merupakan peminat Snoop Dogg dan mengikuti perjalanan seni penyanyi rap itu sejak di bangku sekolah dan pernah digelar ‘Snoop Joe’ gara-gara asyik mengulang pakai baju bintang rap antarabangsa itu.
"Saya mengikuti dan meminati perjalanan seni Snoop Dogg sejak 1993. Saya minat dengan apa yang diperjuangkannya hingga sekarang.
"Dulu masa sekolah saya ada tiga baju Snoop Dogg yang diulang pakai hingga ada yang bertanya saya ni dah tak ada baju lain ke?
“Sampai kawan-kawan di sekolah panggil saya ‘Joe Snoop’", katanya ketika majlis sidang media secara virtual baru-baru ini.
Joe turut berkongsi kenangannya bertemu bintang pujaannya itu di Bangkok, Thailand, 10 tahun lalu dan menyifatkan Snoop Dogg sebagai seorang yang peramah.
“Ketika itu saya menghadiri konsert Snoop Dogg di sana dan selepas konsert berakhir, saya dibawa ke belakang pentas untuk bertemunya.
“Kami sempat merakamkan gambar. Kali kedua, saya jumpa Snoop Dogg pada sesi 'post mortem' anjuran DJ Uno.
"Pada mulanya, saya tidak pasti mahu pergi dan berbelah-bahagi. Namun, saya beranikan diri dan beliau sangat peramah.
“Snoop Dogg banyak bertanya bertanya mengenai Malaysia masa tu,” katanya.
Mengulas mengenai projek terbarunya, Joe Flizzow mengaku hilang kata-kata apabila mendapat undangan daripada Snoop Dogg.
Melalui projek yang menghimpunkan ramai artis hip hop dan R&B dinaungi Universal Music Group (UMG) dari serata dunia, Joe Flizzow dipilih merakamkan lagu Alright nyanyian Redman dan Method Man yang menampilkan dirinya dan Nefertitti Avani.
"Apabila kerjasama ini terjadi, saya terdetik suatu perkara iaitu jangan sesekali putus asa dalam apa yang kita impikan. Kita tidak pernah tahu sesuatu yang mustahil mungkin jadi realiti.
“Saya tak sangka pujian Snoop Dogg atas usaha saya memperkasakan muzik rap di Malaysia membawa saya untuk bekerjasama dengan dia,” katanya.
Episod 15, 16 Baris Musim Kedua yang dipuji Snoop Dogg dan dikongsi menerusi laman sosial IG.

Bagi lagu Alright, Joe Flizzow menulis sendiri bait lirik dendangannya dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

"Peluang berganding dengan Method Man dan Redman biarpun melalui sesi rakaman virtual tetap menyeronokkan," katanya.
Joe Flizzow yang popular dengan lagu Apa Khabar bangga kerana Jalur Gemilang terpampang pada poster rasmi album Snoop Dogg itu.
"Impian saya seterusnya adalah mahu menampilkan Snoop Dogg dalam album terbaru berjudul Johan yang akan diterbitkan tahun depan," katanya.
Selain Joe Flizzow, Yung Raja dari Singapura turut terpilih menjayakan album berkenaan menerusi lagu Qualified nyanyian Snoop Dogg selain menampilkan Larry June dan Oktober London.
Sementara itu, Snoop Dogg dalam kenyataan mengakui ramai bakat hebat bekerjasama dalam projek album kompilasinya itu.
"Mereka hadir dengan pelbagai gaya muzik dan memecahkan algoritma. Melalui album ini, saya beri anda perasaan bukan sekadar bunyi. Album ini sangat istimewa atas banyak sebab," katanya.
Sebelum ini, Joe Flizzow pernah berduet dengan ikon hip hop antarabangsa, Warren G.
Januari lalu, single Ciao yang diterbitkan komposer dari Singapura, Alyph turut menyaksikan Joe Flizzow berkolaborasi dengan artis hip hop terkenal Korea Selatan, Jay Park dan MK dari kumpulan K-Clique.

#Joe Flizzow #Yung Raja #Snoop Dog #Snoop Dogg Presents The Algorithm (The Global Edition)
;