Hiburan

"Dulu Hidup Saya Pun Macam Gelandangan, Nak Makan Meminta-Minta" - Juju Santuni Golongan Memerlukan, Dedikasikan Lagu Teduhan Kasih Mama

Amri Hassan
31/03/2024
09:50 MYT
Sponsor Banner
"Dulu Hidup Saya Pun Macam Gelandangan, Nak Makan Meminta-Minta" - Juju Santuni Golongan Memerlukan, Dedikasikan Lagu Teduhan Kasih Mama
Pernah bergelut pelbagai cabaran sejak kecil, penyanyi dan usahawan berjaya Juju mendedikasikan lagu Teduhan Kasih Mama buat insan yang pernah membantunya mengharungi liku hidup.
Juju atau nama sebenarnya Julianah Ishak akui, ilham untuk menghasilkan lagu tersebut berdasarkan pengalaman lampau.
"Sejak usia 10 tahun lagi saya terpaksa mencari rezeki sendiri dengan berniaga 'roti john' di pasar-pasar malam untuk menampung kehidupan dan persekolahan.
"Dan pada usia 13 tahun, saya terpaksa menetap di sebuah rumah kebajikan di Johor Baharu.
"Begitupun saya bertuah apabila akhirnya bertemu dengan insan-insan yang dapat dianggap sebagai ibu dari keluarga angkat yang sanggup menerima saya seadanya dan memberikan kasih sayang serta kebahagiaan yang dicari-cari sejak kecil," katanya.

PILIHAN PEMBACA: Ross Ariffin Tak Mahu Susahkan Anak, Sanggup Jadi Gelandangan

Dibesarkan dalam sebuah 'broken family', tidak menghalang ibu tunggal berusia 42 tahun ini untuk menjadi seorang usahawan wanita berjaya.
Teduhan Kasih Mama, dihasilkan Juju sendiri dengan kerjasama penulis lirik Zamzoy dan susunan lagu mendapat sentuhan Papa Jup.
Mengulas lanjut mengenai lirik lagu Teduhan Kasih Mama pula Juju berkata ia menceritakan bagaimana kewujudan seorang 'mama' yang sangat prihatin, mencurahkan kasih dan sayang tidak berbelah bagi meskipun tanpa ikatan darah antara mereka.

BERITA TRENDING: AZ Pemurah Kekal Sorok Identiti, Bimbang Riyak & Takbur! - "Saya Takkan Tunjuk Wajah"

"Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan 'mama' yang memberi peluang untuk saya berkongsi kasih dan sayang," kata Juju ketika ditemui pada Majlis pelancaran album bersama anak-anak yatim dari Sentuhan Kasih Anak-Anak Penyayang Nur Iman yang dirasmikan oleh ibu angkatnya, Datuk Noor Aieni Mohd Ali selaku Presiden Women Power.

Bukan nak bersaing dengan penyanyi lain

Mengenai sasaran menghasilkan lagu-lagu lain pada masa akan datang Juju memberitahu, penampilannya bersama single itu bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana artis sebaliknya lebih kepada minat serta dikurniakan sedikit bakat dalam bidang seni.
"Pada usia sekarang saya tidak memikirkan untuk bergelar artis kerana saya mempunyai tanggungjawab dalam bidang kerja dan tugas-tugas lain termasuk menjaga anak-anak angkat saya.
"Saya juga tidak meletakkan sasaran untuk memasarkan lagu ini di mana-mana saluran. Saya juga gembira jika lagu ini mendapat maklum balas positif daripada pendengar atau peminat muzik" katanya.

Hidup seperti gelandangan

Juju yang aktif menjalankan program infaq Ramadan sejak tahun 2019 itu tidak pernah lelah menyantuni golongan yang memerlukan di sekitar Kuala Lumpur.
"Bermula 1 Ramadan lagi, saya telah menjalankan program agihan makan (juju roti john) kepada sekolah-sekolah tahfiz, rumah anak-anak yatim, gelandangan serta masjid dan surau berdekatan.
"30 Mac adalah program terakhir saya bulan Ramadan kali ini, program ini dinamakan Ketuk-Ketuk Sahur dengan kerjasama NGO Women Power, Biro Penerangan Wanita Umno Bahagian Wangsa Maju serta Grab Food Ladies Rider Wangsa Maju dengan mengagihkan 350 pek makanan dan air.
"Saya memang suka adakan program kebajikan kerana dulu kehidupan saya seperti gelandangan. Kadang nak makan pun meminta-minta.. Jadi saya tahu rasanya hidup tidak berduit dan susah," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Juju turut tampil dengan lagu raya terbaharu berjudul Raya Patutnya Aku.
"Tahun 2024 ini saya dapat rasakan ini adalah raya untuk saya..ada kebahagian untuk saya yang dicari-cari selama ini..mudah-mudahan kekal selamanya," ujarnya.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar