Hiburan
"Dulu Kami Hampir Berputus Asa Sehingga..." - Bapa Ainul Mardiah Imbas Kembali Momen Sebelum Kisah Anaknya Tular
Bapa kepada Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak mengimbau kembali kenangan sewaktu anaknya menghadapi masalah ketumbuhan pada bahagian mulut.
Bapa kepada bayi yang menghidap 'Germ Cell Tumour' ini mendedahkan anaknya tidak terperap di dalam rumah malah sentiasa mengikutinya ke kedai.
Namun, dia mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan wajah anaknya kerana tidak ingin menjadi perhatian orang ramai.
"Orang tanya dulu masa Ainul ada ketumbuhan tu, duduk rumah je ke?
"Jawapan: Tak pun. Kadang-kadang keluar juga. Selalunya Ainul ikut walid pergi kedai. Jaga Ainul di kedai.
"Selalunya kalau bawak Ainul keluar, dia akan ditutup macam dalam gambar ni. Ya. Memang kami tutup sebab tak nak bagi orang nampak.
"Bukan sebab malu, tapi sebab tak nak nanti orang sedih bila tengok Ainul dan takut orang ramai nak tengok dia," tulisnya menerusi sebuah entri di Instagram (IG) miliknya.
Tambah Safiuddin, pada mulanya mereka sekeluarga tidak ingin berkongsi mengenai ketumbuhan anaknya kepada umum kerana percaya itu adalah ujian yang perlu dihadapi.
Walaubagaimanapun, sebagai seorang bapa, dirinya juga tidak sanggup melihat keadaan anaknya seperti itu.
Disebabkan kehebatan kuasa viral, kini Ainul bertambah sihat malah menjadi seorang anak yang ceria.
"Kalau boleh dulu, memang tak nak cerita pada sesiapa pun pasal Ainul ni terutama pada umum.
"Sebab pada ketika itu, walaupun kami rasa ujian ini terlalu berat, tapi kami berjaya pujuk hati kami bahawa ada orang lagi berat ujian mereka.
"Kedua, kami tak mahu Ainul viral. Kalau ikutkan, kami boleh je ambil kesempatan viralkan Ainul ni. Tak perlu tunggu ketumbuhan tu besar untuk raih simpati.
"Tapi saya rasa serba salah ketika itu sebab saya bekerja dan mempunyai pendapatan yang tak sedikit dan tak banyak.
"Setakat mahu ulang-alik hospital dan biaya perubatan Ainul, alhamdulillah saya mampu ketika itu walaupun kadang-kadang bisnes tak okey.
"Alhamdulillah, Allah cukupkan rezeki kami sekeluarga.. Tapi kami selalu doa supaya Allah bukakan jalan dan permudahkan urusan kami.
"Akhirnya, kisah Ainul di viralkan oleh orang lain. Dan kesan daripada itu, Ainul sihat dan ceria pada hari ini.
"Dulu, kami hampir berputus asa sehingga doa yang "bukan bukan" kepada Ainul.
"Then bila fikir-fikirkan balik, selagi nyawa masih dikandung badan, jangan sesekali menyerah kalah.
"Hanya mati sahaja tiada ubatnya. Selagi badan masib bernyawa walaupun sakit, tetap ada ubatnya.
"Jangan putus asa... Allah swt ini sangat ajaib. Pada waktu kita rasa kita dah tak mampu nak berbuat apa apa setelah berusaha, maka kena akur bahawa Allah swt itu memiliki segalanya. Minta pada DIA.
"Percayalah, DIA lebih tahu apa yang tidak kita tahu.. Ilmu dan fikiran kita terbatas, tetapi tidak bagi Allah swt..
"Akhir sekali, kuat lah kita dalam apa jua cabaran yang kita sedang atau bakal lalui, Doa dan jangan sesekali berputus asa!" coretnya lagi.
Kisah penderitaan Ainul mendapat perhatian umum apabila rakaman video bayi terbabit yang mengalami ketumbuhan pada bahagian mulut tular dalam laman sosial.
Untuk pengetahuan semua, Ainul selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di Hospital Kanak-Kanak di UK pada 10 Jun lalu.
Pembedahan itu dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang bersama pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri, yang bertanggungjawab membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London bagi mendapatkan rawatan.
Selepas lebih dua bulan dirawat di kota London, bayi perempuan berusia itu pulang ke tanah air pada 27 Julai lalu.
Kisah Ainul bukan saja mendapat perhatian rakyat Malaysia, malah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menziarahinya ketika beliau berada di United Kingdom untuk lawatan rasmi.