Gaya Hidup
"Dulu Obses Air Boba Sampai Naik Berat Badan" - Shuib & Sarah Jual Boba Madu Lebah Pertama Dunia, Lebih Sedap & Menyihatkan!
Pasangan Shuib dan Siti Sarah mencipta rekod apabila berjaya melancarkan air boba berasaskan madu lebah pertama dunia.
Produk yang diberi nama Bubble Bee itu kini telah membuka cawangan pertamanya di Menara U, Shah Alam, Selangor.
"Kami peminat air boba, malah pernah satu masa berat badan naik sebab obses dengan minuman ini.
"Idea tercetus untuk menggantikan gula melaka dengan madu lebah yang ternyata lebih menyihatkan.
"Malah khasiat madu lebah juga terbukti sangat banyak termasuk untuk kesihatan tulang dan kecantikan kulit.
"Bubble Bee ini menjadi inovasi baharu dalam penghasilan produk minuman yang semestinya akan disukai ramai," kata Shuib ketika ditemui pada majlis pelancaran Bubble Bee di Shah Alam semalam.
Dalam pada itu, Shuib merancang untuk memasarkan produk Bubble Bee ke luar negara terutama Taiwan.
"Kalau sebelum ini kebanyakan air boba dibawa dari Taiwan, jadi apa salahnya kalau selepas ini kita pula pasarkan produk kita di sana.
Kandungan Bubble Bee telah disahkan halal dan terdapat 14 menu untuk menjadi pilihan pengunjung termasuk minuman berasaskan soya.
Harga pula dijual antara RM6.90 hingga RM14.90.