Hiburan
Dynamic Duo! Afgan & Lyodra Teruja Hiburkan Peminat Di Malaysia
Gabungan suara dua penyanyi popular Indonesia, Afgan dan Lyodra menerusi konsert Ada Afgan & Lyodra: Live In Kuala Lumpur sangat memukau.
Bukan sahaja persembahan yang luar biasa malah lontaran vokal yang bertenaga dari kedua-dua penyanyi ini membuatkan penonton yang hadir menyaksikan mereka di Mega Star Arena terpukau.
Menurut pelantun lagu Tak Dianggap, dia begitu teruja untuk datang ke Malaysia bagi menghiburkan peminat-peminatnya disini.
“Kalau Afgan, dia mungkin sudah selalu datang ke Malaysia untuk adakan konsert.
“Tapi kalau saya malam ini sangat istimewa buat saya sebab ini pertama kali saya adakan konsert di Kuala Lumpur,” ujarnya kepada penonton yang hadir.
Afgan juga tidak ketinggalan memberi ucapan apresiasi buat peminat yang sudah banyak menyokong dan tidak menyangka lagu Ada yang dilancarkan pada tahun lepas mendapat tempat dihati peminat Malaysia.
“Terima kasih semua sebab datang, saya dan Lyodra sangat gembira untuk berada disini.
“Malah saya sangat teruja untuk kembali ke rumah kedua saya. Tak sangka lagu yang kami lancarakan tahun lepas akan mendapat sambutan dan terus menjadi sebuah konsert, jadi kami berdua nak ucapkan terima kasih kepada anda semua sebab telah menyokong karya kami," katanya.
Hampir tiga jam berlangsung, peminat dihiburkan dengan gabungan lagu-lagu popular dari kedua-dua penyanyi ini.
Antara lagu popular Afgan yang disampaikan adalah Jodoh Pasti Bertemu, Bawalah Cintaku, Untukmu Aku Bertahan dan Kamu Yang Ku Tunggu.
Manakala Lyodra memukau penonton dengan lagu-lagu seperti Sang Dewi, Menyesal dan lagu wajib Ada.
Konsert Ada Afgan & Lyodra: Live In Kuala Lumpur telah berlangsung di Mega Star Arena, Sungai Wang pada 28 September 2024.