Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Ebit Bakal Pulang Dalam Masa Terdekat, Misi Kemanusiaan Berjalan Lancar” – Hishammuddin

Awani 02/06/2021 | 02:15 MYT
Pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew bakal pulang ke Malaysia dari misi kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin dalam masa terdekat.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan, misi kemanusiaan Ebit dan delegasinya itu berjalan dengan lancar dan sentiasa memberikan perkembangan tentang misi tersebut.
“Saya memang berkomunikasi dengan Ustaz Ebit setiap hari bagi memantau perkembangan misi tersebut.
“Misi beliau berjalan dengan lancar dan beliau turut membantu kita untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi di sana.
“Jadi kita pantau secara dekat, dan saya percaya beliau bersama delegasi selamat dan akan pulang dalam masa terdekat,” ujarnya dalam satu perkongsian di Facebook pada Selasa.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, segala maklumat yang diterima mengenai misi tersebut akan dikongsi kepada umum dari semasa ke semasa.
Hishammuddin dalam satu sidang media secara atas talian selepas pelancaran kempen Humanitarian Aid Fundraising From Malaysia, For Palestin juga memaklumkan pihaknya sempat bertanya maklum balas daripada delegasi berkenaan mengenai bantuan yang benar-benar diperlukan oleh rakyat Palestin ketika ini.
“Sebab itu gerakan-gerakan yang ikhlas dan tidak ada kepentingan lain, usaha sebegini Kementerian Luar Negeri tak teragak-agak untuk terus membantu,” jelasnya.
Ebit sebelum ini dilapor berlepas ke Mesir pada 25 Mei lalu untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan dengan menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata pendakwah berkenaan ke Mesir untuk misi berkenaan bermula 25 hingga 30 Mei.
#Misi Kemanusiaan #Palestin #Ebit Lew #Ustaz Ebit Lew #Gaza #Datuk Seri Hishammuddin Hussein #Menteri Luar #Misi Kemanusiaan Palestin
;