Laman Utama

Ebit Lew Cerita Pengalaman Perjalanan Ke Gaza: "Diiringi 12 Kereta Kebal, 21 Jam Perjalanan"

Maliah Surip
29/06/2021
22:50 MYT
Sponsor Banner
Ebit Lew Cerita Pengalaman Perjalanan Ke Gaza: "Diiringi 12 Kereta Kebal, 21 Jam Perjalanan"
Penceramah bebas, Ustaz Ebit Lew yang kini berada di Gaza, Palestin menceritakan pengalaman emas perjalanannya ke bumi bergolak itu dengan memberitahu dirinya dan pasukan sihat serta berada dalam keadaan selamat.
Ebit yang kini bersama delegasi dalam misi kemanusian menyalurkan bantuan termasuk ubat ubatan buat rakyat di Gaza muncul dalam temubual bersama Nabil Ahmad menerusi Instagram Live milik program MeleTOP malam tadi.
Kelihatan sihat dan tersenyum seperti biasa, Ebit mengaku kejayaan menjejakkan kaki ke Gaza setelah sebulan berusaha adalah sebuah keajaiban dari Allah SWT.
"Sebulan kami di Mesir, mencuba masuk ke Gaza. Sebenarnya niat asal hanya mahu hantar barang dan pulang. Niat kedua pula, dapat sampai sempadan.
"Dan ketiga, dapat masuk ke Gaza adalah sebuah keajaiban yang Allah susun buat kami," kata Ebit dalam siaran langsung yang disaksikan lebih 26 ribu pengguna Instagram.
Menurut Ebit lagi, tanpa doa rakyat Malaysia yang bersatu dan tentunya kuasa Allah, mereka tidak mungkin dapat menjejakkan kaki sekaligus menjalankan misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel tercapai.
Malah, katanya sehari sebelum memasuki Gaza, beliau sudah membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia kerana tidak sanggup melihat ayahnya sakit.
"Ayah saya sakit sepanjang saya di sini, jadi saya tak sanggup. Saya nak balik (Malaysia). Tapi esoknya, hari saya nak balik, Allah buka jalan untuk kami semua masuk ke Gaza. Ya Allah," kata Ebit dalam perkongsian selama 15 minit sebelum siaran langsung terputus.
Melanjutkan bicara, Ebit berkongsi pengalaman perjalanannya bersama delegasi masuk ke Gaza dengan diiringi 12 kereta kebal dan terpaksa melalui pemeriksaan ketat di 21 checkpoint yang dijaga tentera Mesir.
"Bayangkan, kita orang kampung ada 12 kereta kebal jaga, rasa macam tengok cerita dalam Astro. Kami naik van selama 21 jam perjalanan termasuk lalu di padang pasir. Tapi syukur langsung tak rasa lapar sangat atau mahu buang air besar.
"Kami hanya berhenti untuk solat dan selepas 21 jam naik van dan dapat memasuki Gaza dengan selamat pada Isnin," ceritanya lagi.
Sementara itu dalam ruangan komen, ramai pengguna media sosial mendoakan agar Ebit dan delegasi selamat selain meninggalkan emoji hati kepada beliau.
Delegasi Ebit merupakan yang pertama di dunia dibenarkan masuk melalui Pintu Rafah selepas perang selama 11 hari tamat bulan Mei lalu.
Misi kemanusiaan yang dijalankan Ebit dengan kerjasama Egypt Red Crescent dan Palestin Red Crescent itu telah mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa yang perlu dipatuhi termasuk apabila kembali ke Malaysia.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar