Laman Utama
Eksklusif Bersama Jamie Dornan, Cerita Tentang Heart of Stone, Gal Gadot & Kembara 6 Negara!
Gempak berkesempatan menemubual bintang Hollywood, Jamie Dornan pada Jun lalu, salah seorang bintang filem yang sedang ditayangkan di Netflix, Heart of Stone.
Dornan memegang watak Parker, seorang ketua ejen perisik MI6 kepada pasukannya termasuk Rachel Stone (Gal Gadot).
Dalam filem ini, pasukan MI6 tidak mengetahu bahawa Stone juga bekerja kepada Charter (organisasi rahsia yang menggunakan teknologi luar biasa untuk mematahkan ancaman global).
Stone terlatih secara profesional sebagai ejen lapangan yang berupaya menyelesaikan misi. Namun salah satu misinya gagal apabila digodam oleh hacker Keya Dhawan (Alia Bhatt) membuatkan hidup Stone kucar-kacir.
Filem Heart of Stone arahan Tom Harper dibintangi Gal Gadot, Jamie Dornan, Alia Bhatt, Sophie Okonedo, Matthias Schweighöfer, Paul Ready, Jing Lusi dan ramai lagi. Ini juga menjadi filem debut Alia Bhatt di persada Hollywood dan filem aksi sulung si kacak, Jamie Dornan.
Jom ikuti sesi temubual Gempak bersama Jamie Dornan!
Kenapa menerima tawaran untuk berlakon dalam Heart of Stone?
Ini merupakan satu langkah besar bagi saya, tak pernah lagi sebelum ini membintangi genre sebegini dan bagi saya sebagai aktor yang punyai pilihan tersendiri, filem ini juga untuk mencabar kemampuan saya dan keluar daripada kepompong selesa. Ini genre yang saya nanti-nantikan selama ini.
Banyak hal yang memikat hati saya untuk membintangi Heart of Stone antaranya dengan adanya skrip dari Greg Rucka dan pengarah Tom Harper sendiri yang amat saya kagumi.
Manakala, Gal Gadot pula merupakan individu yang kini berada di papan atas dunia dan saya amat meminati lakonannya.
Bagaimana mempersiapkan diri untuk memegang watak Parker?
Saya sukakan watak Parker yang sangat terbuka dan berkeyakinan tinggi. Ada banyak dalam skrip yang membuktikan dirinya hebat, berkemampuan dalam apa saja tugas, mahir dalam bertempur dan seorang pemimpin bagus. Kami menjalani proses latihan dan stunt sebelum masuk ke set, yang membuatkan saya teruja.
Cabaran sepanjang penggambaran Heart of Stone?
Sejujurnya semua aspek mencabar bagi saya. Daripada skrip, skala besarnya projek ini dan macam-macam lagi. Saya mengembara ke enam buah negara bersama pelakon antarabangsa lain yang bercakap dalam pelbagai bahasa serta aksen, dengan aksi yang sangat mencabar dan mendebarkan.
Antara lainnya, cabaran untuk naskhah itu sendiri. Cuba untuk menceritakan plot dalam masa sama menjadikan ia logik dan menghiburkan penonton. Mujurlah, kami semua punyai pandangan yang sama dan akhirnya berjaya dilaksanakan sebaik-baiknya.
Apa yang menariknya ketika berlakon bersama Gal Gadot?
Dari awal sampai habis filem! Kami seronok melakukannya bersama-sama. Adakalanya, ketika kami mengembara dari satu negara ke negara lain dalam tempoh masa panjang dan tidak dapat bertemu keluarga masing-masing, kami ada satu sama lain untuk berbicara.
Penggambaran pada waktu malam juga sangat mencabar. Namun, kami hadapinya dengan tenang dan menyeronokkan. Tidak dapat digambarkan betapa bertuahnya kami untuk digandingkan bersama-sama pelakon yang hebat dalam filem ini.
Sudah pasti, selain bekerja bersama-sama kami berkongsi banyak momen kelakar sepanjang penggambaran!
Apa yang anda pelajari perkara baharu tentang diri sendiri ketika penggambaran Heart of Stone?
Banyak! Saya berjaya melakukan close-combat fightinng dalam filem ini dan belajar banyak skil baharu yang tak pernah dilakukan sebelum ini.
Melakukan banyak aksi lasak dan bertarung dalam pelbagai senario membuatkan saya teruja. Tak salah kalau saya katakan saya mahu lakukan lebih lagi ketika usia masih muda dan fizikal masih mampu melakukannya ketika ini.
Seperkara yang anda suka tentang filem ini?
Mengembara! Kami ke enam buah negara dan kami rasa seolah-olah sebati dengan tenaga di setiap lokasi yang kami singgah. Kami punyai kru produksi yang hebat. Kebanyakan penggambaran kami dilakukan di London kemudian ke Portugal, Marakesh, Iceland dan Itali.
Heart of Stone telah mula ditayangkan di Netflix bermula 11 Ogos 2023.