Berita
Eksperimen Uji Setia? Ini Nasihat Da'i Wan
Pendakwah, Da'i Wan Dazrin menyifatkan tindakan individu yang melakukan ekperimentasi bagi menguji tahap kesetian pasangan masing-masing adalah tidak wajar.
Ini kerana, menurut Da'i Wan, ujian untuk menempuh ke sebuah ikatan perkahwinan itu sebenarnya sudah tersedia buat mereka daripada Allah, tanpa perlu ujian buatan manusia.
"Dah ada ujian dari Allah kenapa nak susah-susah lagi? Nak susah-susah pergi minta manusia pula buatkan test baru.
"Bila dah serius dalam perhubungan, nak ke jinjang pelamin, ujian-ujian daripada Allah akan datang je. Cukuplah dengan itu jadi ukuran untuk diri masing-masing melaluinya, sama-sama, tak perlu nak ada ujian ektra buatan manusia pula," katanya dalam satu entri di Instagram.
Da'i Wan meluahkan pandangannya berhubung kontroversi yang melibatkan satu program di YouTube yang menguji tahap kesetian pasangan sehingga tular baru-baru ini.
Katanya, tindakan itu hanya memporak-perandakan lagi satu-satu hubungan.
"Walaupun mereka tidak mengaibkan sebab tak dedah wajah, tapi dengan usaha-usaha jayakan 'test' palsu tu sampai putuskan silaturahim dedangkan sepatutnya boleh buat pemuda-pemudi bernikah, sangat tak eloklah.
"Tak masuk syurga orang putuskan tali silaturahim ni. Tak payahlah nak buat ujian sesama sendiri ni kalau sekadar nak uji masing-masing. Kita ni banyak kelemahan, Allah je jaga aib.
"Allah punya test dah cukup besar, penuh rahsia dan hikmah untuk dipelajari daripada ujiannya," luahnya.
Terdahulu, sebuah program di Youtube memaparkan sebuah rancangan yang memperlihatkan kecurangan seorang wanita yang sanggup curang dengan bakal suaminya dengan memilih habuan wang ringgit.