Ekstravaganza Muzikal, Astro Showcase Meriah, Dapat Sentuhan Magis Daripada Tiara Jacquelina
Peneraju syarikat digital penstriman dan kandungan negara, Astro menguatkan lagi proposisi Astro Baharu di pasaran dengan membawakan pengalaman hiburan terkini yang nyata kepada 800 jemputan termasuk peminat, pelanggan Astro, barisan selebriti serta rakan niaga di Zepp, Kuala Lumpur pada Khamis.
Menariknya lagi, persembahan muzikal Astro Showcase turut ditayangkan secara strim menerusi YouTube dan Facebook Gempak, memberikan para pelanggan akses tiada had kepada ekstravaganza muzikal ini yang memaparkan pelbagai kandungan dan rancangan hebat untuk distrim di Astro.
Keunikan Astro Showcase adalah memberikan pengalaman yang belum pernah dialami yang memaparkan pelbagai seleksi kandungan original Astro yang mencabarkan, drama-drama yang mengasyikkan, filem-filem blokbuster, siri rancangan kanak-kanak yang menarik, program-program realiti signature yang besar serta siaran sukan secara langsung.
Diarahkan oleh Puan Sri Tiara Jacquelina, pengalaman beliau menguatkan proposisi Astro sebagai destinasi premium untuk hiburan dan penstriman kandungan untuk semua rakyat Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong, keutamaan Astro adalah untuk memberikan semua pelanggan menikmati pengalaman ‘Astro Baharu’.
“Kami mahukan semua pelanggan kami menikmati pengalaman Astro Baharu—kandungan-kandungan mengasyikkan yang diterajui Ultra dan Ulti Box yang bersambung, pelbagai peranti untuk strim Astro GO yang dipermudahkan lagi dengan Astro Fibre yang memberikan pengalaman yang lancar.
“Dengan menerbitkan lebih 10,300 jam kandungan tempatan, pengagregat kandungan penstriman global serta menyiarkan sukan secara langsung untuk rakyat Malaysia, Astro kekal sebagai peneraju utama kandungan di Malaysia.
“Kami mahukan para pelanggan kami tahu perbandingan di antara Astro terdahulu dengan Astro Baharu. Kandungan, ketersambungan dan pengalaman pelanggan kami kini dioptimakan untuk memberikan hiburan premium berkualiti tinggi untuk seisi keluarga.
‘Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Tiara dalam menyampaikan mesej kami menerusi muzikal perdana kami, Astro Showcase kepada para penonton yang terdiri daripada pelanggan, rakan niaga industri serta pihak media,” katanya.
Dikenali menerusi pementasan teater seperti Puteri Gunung Ledang The Musical, P.Ramlee: The Musical dan Ola Bola The Musical, pelakon, penerbit dan pengarah tersohor Tiara bukan sahaja mengarah persembahan dua jam ini malah akan mempersembahkan sebuah rap yang dihasilkan bersama Altimet.
Astro Showcase memaparkan nama-nama gah industri hiburan negara seperti penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza, alumni Gegar Vaganza 8 Suki Low, finalis Big Stage 4 Aisha Retno serta pengacara Big Stage dan Gegar Vaganza Elly Mazlein.
Kepelbagaian kandungan diteruskan lagi dengan penampilan istimewa Hun Haqeem dan Erysha Emyra (Chinta Wrong Direction); Sherry Alhadad (Mega Spontan); Dr. J. Ram (Family Feud Malaysia versi Tamil) serta pelakon-pelakon hebat Projek High Council, Nadhir Nasar dan Mierul Aiman.
Manakala pemain bola sepak Sri Pahang FC, Sergio Agüero turut membuat penampilan khas mewakili Liga Malaysia.
Untuk menunjukkan komitmen, aktor-aktor internasional pula seperti Joel Chan (Barrack O’Karma), Owen Cheung (Airport Strikers) dan Bright Norraphat (The Giver) dari TVB Magic diterbangkan khas untuk beraksi di Astro Showcase.
Astro Showcase memaparkan kepelbagaian genre serta bentuk hiburan yang ditawarkan di platform-platform Astro.
Persembahan Astro Showcase dimulakan dengan segmen sukan yakni nyanyian Astro Luar Bisa yang digubah khas untuk malam tersebut.
Ini diikuti dengan segmen Hiburan, Kanak-Kanak, Komedi dan Drama yang merangkumi genre Cinta, Seram serta Aksi. Tirai persembahan Astro Showcase dilabuhkan dengan nyanyian lagu Astro Semuanya Ada.
Para penonton berkesempatan untuk menyaksikan babak atau adegan menarik dari Projek High Council, Chinta Wrong Direction dan kandungan-kandungan lain yang dilakonkan secara langsung oleh para pelakon dan barisan penari dengan penggunaan sistem bunyi yang hebat serta paparan skrin 180°.