Laman Utama
Elly Mazlein Tersentuh, Baru Lima Tahun Anak Dah Pandai Berdikari - “Nak Bersiap Pun Kat Bilik Dia”
Penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein tersentuh apabila anak kesayangannya, Putri Sara Sefhia sudah pandai berdikari walaupun baru berusia lima tahun.
Elly berkongsi perkara itu menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya.
Menurut Elly, Sefhia kini dalam proses pembelajaran untuk melakukan sesuatu dengan sendiri tanpa bantuan orang lain.
“Sekarang ni dia sorang, tak lama lagi nak jadi kakak dah. Dah mula lah kakak belajar berdikari urus diri sendiri dan sebagainya.
“Dari gosok gigi dan sebagainya. Ya manja pakai berus gigi orang dewasa jenis lembut. Gigi bersih dan wangi sebab kena diseluruh permukaan gigi dan berus tu sendiri lebar.
“Biasalah dapat mak yang over thinking memang macam tu la semua nak kena bersih, semua kena sempurna.
“Sekarang nak mandi pun nak bilik air dia sendiri… Bersiap pun kat bilik dia. Alhamdulillah dah #5yearsold anak manja mama yang sorang ni,” coretnya.
Bagaimanapun kata Elly, dia tidak membenarkan Sefhia melakukan tugasan harian berseorangan sebaliknya tetap memantau pergerakan puterinya itu.
“Tapi mama tetap tak biarkan manja buat sorang-sorang. Mama tetap tunggu dan tengok cara manja uruskan diri. Bagi tahu apa yang patut.
“Ye la kadang-kadang anak-anak ni jangan ingat bila sekali kite ajar, dia akan ingat. Kita kena sentiasa ingatkan dia supaya pandai uruskan diri dengan betul,” tulisnya.
Sementara itu, menerusi ruangan komen rata-rata pengikutnya mendoakan Sefhia menjadi kakak yang baik dan anak yang sentiasa mentaati kedua ibu bapanya.
Elly mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Azlan Che Nuh, 31, pada 18 Januari tahun lalu.
Sebelum ini Elly juga pernah berkahwin dengan pengarah, Azmi Hatta pada 2014 namun bercerai pada tahun 2015.
Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Putri Sara Sefhia yang kini berusia lima tahun.