“Enam Pelajar Matrikulasi Yang Dikompaun RM1,500 Tak Perlu Bayar Walaupun Satu Sen!” - Exco Negeri Perak
Enam pelajar Matrikulasi Perak Gopeng yang dikompaun RM1,500 oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak perlu membayar denda tersebut.
Kerajaan negeri juga telah memberi jaminan kes itu akan diselesaikan dengan sebaiknya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, keputusan itu dicapai pihaknya selepas rayuan dibuat pelajar terbabit dan perjumpaan pihaknya dengan Pejabat Kesihatan Negeri.
Mohd Akmal berkata, pihaknya berjumpa sendiri dengan Pegawai Kesihatan Kampar serta turut berbincang dengan Pengarah Kesihatan negeri baru-baru ini dan satu kata putus dicapai.
"Untuk makluman semua, pelajar ini... mereka tidak perlu membayar apa-apa walaupun satu sen dan saya beri jaminan kes ini akan selesai.
"Keputusan yang dicapai dan mendapat kerjasama semua pihak ini sangat baik dan membantu pelajar yang datang dari keluarga asnaf.
"Justeru, isu ini tidak perlu lagi diulang atau diperbesarkan demi memberi ruang kepada enam pelajar terbabit untuk menduduki peperiksaan dengan tenang," katanya ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Daerah Selama, di sini, petang tadi.
Menurutnya, pihaknya turut berkesempatan berjumpa dengan bapa salah seorang pelajar berkenaan bagi memberikan semangat untuk mereka sekeluarga dan turut memberikan jaminan kes itu akan selesai segera.
Katanya, beliau turut menasihatkan semua pihak agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standart (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Pada 19 April lalu enam pelajar Kolej Matrikulasi Gopeng dikenakan kompoum RM 1,500 oleh Pegawai Kesihatan KKM kerana tidak memakai pelitup muka dan meletakkannya di bawah dagu.
Tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati enam pelajar berkenaan dan melalui ciapan seorang pemilik akaun yang tular meluahkan kekesalan dengan tindakan kompaun berjumlah RM 1,500 sedangkan elaun yang mereka terima bagi tempoh enam bulan hanyalah RM 1,250.
Pelajar berkenaan dikatakan tinggal di kolej itu sejak lima bulan lalu dan tidak dibenarkan keluar.