Hiburan
Enggan Dedah Hal Rumah Tangga, Rusdi Ramli Anggap Lebih Bawa Mudarat Berbanding Kebaikan
Pelakon dan pengarah, Rusdi Ramli memilih untuk tidak membuka mulut perihal rumah tangganya sehingga menjadi bahan bualan masyarakat.
Menurut pelakon Tanda Putera itu, walaupun ramai beranggapan kehidupan peribadi artis selalu menjadi tumpuan, namun dia tidak berpegang kepada prinsip itu.
Cerita Rumah Tangga Lebih Banyak Membawa Keburukan
Tegas Rusdi, bercerita mengenai situasi perkahwinan di media sosial lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikan.
"Kadang-kadang, bila terlalu terbuka sampai cerita peribadi pun nak diberitahu, akhirnya dia bukan sahaja tak menguntungkan tapi memudaratkan banyak pihak.
"Kenapa kita nak buat benda macam itu sedangkan kita boleh elak?" katanya.
Rusdi ditemui di majlis tayangan perdana drama bersiri Framed terbitan Astro Originals yang berlangsung di DADI Cinema Pavilion, Kuala Lumpur.
Hormat Hak Artis Lain Untuk Bercerita Hal Rumah Tangga
Sementara itu, Rusdi bagaimanapun menghormati pilihan jika ada rakan artis yang selesa bercerita mengenai kehidupan peribadi masing-masing secara terbuka.
"Itu hak masing-masing. Sesetengah orang tak kisah. Kadang-kadang, mungkin mereka suka cerita mereka keluar setiap hari. Kalau tidak, tak ada cerita. Pada saya, lebih baik saya diam daripada saya bercerita yang tak ada.
"Hari ini, saya datang sebab drama ini. Kalau tidak, saya tak ada. Jadi, adalah sebab saya ada di khalayak sebegini, sebab kerja.
"Bahkan, kalau acara yang saya tak terbabit, saya takkan pergi. Tak diundang kan. Berapa banyak festival filem yang saya tak dijemput dan saya tak ada di festival filem itu," katanya.
Penghujung tahun lalu, timbul spekulasi tentang keretakan rumah tangga Rusdi bersama isterinya Sharon.
Sharon, 47, dalam satu temu bual bersama media mengaku bertahan dalam perkahwinan dengan Rusdi kerana anak-anak.
Dalam perkembangan terbaharu, Rusdi membintangi drama bersiri Framed arahan Sein Qudsi. Drama yang mengangkat genre penyiasatan fantasi itu yang turut membariskan barisan pelakon antaranya Meerqeen, Mimi Lana, Sangeeta Krishnasamy, Riz Amin, Khir Rahman dan ramai lagi.
Sekadar info, siri Astro Originals Framed akan ditayangkan pada 3 Mei 2024 di saluran Astro Premier (410), On Demand, Astro Go dan Sooka.