Hiburan
Enggan Kenang Kontroversi Lama, Azri AF9 Mahu Buka Buku Baru
Bekas peserta Akademi Fantasia 9, Azri Abdullah enggan mengenang kontroversi lama yang pernah menghantui dirinya.
Pada Mei tahun lalu, Azri yang merupakan suami kepada penyanyi Salma Asis menjalani hukuman penjara selama 14 hari atas kesalahan menganiaya anak perempuan tirinya.
"Lebih setahun berlalu... Tiada apa yang mahu saya perkatakan lagi kerana semuanya sudah terjadi. Sejujurnya, saya mahu membuka buku baru dan enggan mengenang lagi perkara itu.
"Banyak perkara yang saya pelajari daripada kejadian. Saya lebih menyayangi isteri dan anak-anak saya.
"Hubungan kekeluargaan kami semakin rapat dan ada hikmah besar yang diperoleh di sebalik dugaan yang terjadi," katanya.
Dalam perkembangan lain, kerjaya seni Azri kini dipacu menerusi sebuah kumpulan muzik baru yang diberi nama Paraxit.
"Alhamdulillah, kini saya bergerak dalam sebuah kumpulan muzik. Single pertama Paraxit, Kalimat Kita dipilih sebagai lagu runut bunyi untuk drama bersiri Villa Ghazara.
"Kami bernaung di bawah Hype Beat, syarikat sama yang menaungi kumpulan Hyper Act. Insya-Allah, single kedua kami dalam proses penghasilan," katanya.
Azri ditemui di majlis pembukaan semula butik Elianto Make Up (EMU) di 1 Utama, Damansara baru-baru ini.
Pada majlis yang sama, EMU mengumumkan Datuk Ray Imran menjadi rakan sekutu (rakan niaga) dan mengambil alih EMU di 1 Utama bermula 1 Jun yang lalu serta pelancaran program hybrid 'use, share & earn'.
Selain Azri dan Salma, majlis terbabit turut dimeriahkan dengan kehadiran Rozita Rohaizad, Leina Hangat dan ramai lagi.
Layari laman web www.eliantomakeup.com untuk informasi lanjut mengenai EMU.