Hiburan
Erma Fatima Kagumi Kecekalan Pemuda Hadir Temuduga Selepas Kemalangan
Pengarah dan pelakon, Erma Fatima memuji semangat dan kecekalan seorang pemuda yang hadir ke temuduga untuk bekerja di syarikatnya selepas mengalami kemalangan jalan raya.
Menurut Erma, pemuda itu hadir sambil menahan sakit dan enggan ke hospital selagi belum menghabiskan sesi temuduga itu.
Erma berkongsi perkara itu menerusi sebuah entri di akaun Instagram miliknya hari ini.
Dalam entri sama, Erma turut berkongsi potongan video yang dirakam pengguna jalan raya lain menunjukkan kejadian kemalangan tersebut.
"Perjalanan dia ke pejabat saya untuk temuduga dan mendapat kemalangan, yang melanggarnya lari, sebak saya kerana dia masih datang temuduga dalam keadaan berdarah semata-mata untuk selesaikan juga temuduga dengan saya.
"Terketar-ketar dia menahan sakit, saya suruh dia ke hospital namun dia dia tetap paksa saya untuk interview dia," tulisnya sebagai kapsyen.
Tambah Erma, dia akan mengambil pemuda itu bekerja dengannya selepas pulih dari kecederaan serius yang dialami.
"Susah nak dapat orang secekal kau dik, dan saya dapat tahu tulang rusuknya patah, hati dia bengkak, dia mesej kata mungkin sebulan lagi baru dia akan pulih.
"Dia suruh saya bagi jawatan itu kepada orang lain, saya akan tunggu, kau lulus temuduga ini bukan kerana kemalangan tetapi kerana kecekalan kau dik, moga begitulah juga dedikasi kau dalam mencari rezeki.
"Akak doakan kau cepat sembuh dan posisi kau sentiasa ada di syarikat akak, akak tunggu," tulisnya lagi.
Perkongsian itu mendapat perhatian daripada para pengikut Erma di ruangan komen.
Rata-rata mereka amat bersimpati dengan nasib yang menimpa pemuda itu, tidak kurang juga yang tidak puas hati dengan tindakan individu yang melanggar lari itu.