Ernie Zakri Dipilih Jadi Penyanyi Lagu Tema Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 – “Ini Momen Terbaik Yang Saya Kecapi”
Tanggungjawab Besar Buat Negara
Menurut Ernie, dia menyifatkan peluang yang diberikan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu merupakan tanggungjawab besar buatnya untuk negara tercinta.
“Saya tak dapat ungkapkan… sampai sekarang masih terfikir-fikir kerana dari kecil saya membesar dengan menyanyikan lagu Cuti-Cuti Malaysia.
“Saya tahu ianya sesuatu yang besar dan sangat besar untuk seseorang menyanyikan lagu kempen Tahun Melawat Malaysia itu.
“Ini merupakan tanggungjawab yang sangat bermakna buat saya,” katanya ketika dihubungi Gempak.
Momen Terbaik Sepanjang Karier
Menganggap ia momen paling terbaik diraih sepanjang mengabdikan diri dalam dunia seni, pelantun lagu hits Masing Masing itu turut mengagumi persembahan vokal Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam menyampaikan lagu keramat Cuti Cuti Malaysia pada edisi terdahulu.
“Alhamdulillah ini rezeki yang Allah beri, bersyukur atas peluang dan perhatian kerana saya juga masih baru dalam industri.
“Ini adalah momen terbaik yang saya kecapi,” kongsinya teruja.Angkat Pelbagai Bahasa
Pemenang trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) pada Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) itu turut gembira dengan penghasilan lagu yang cukup indah itu.
“Lagu ini sangat mencerminkan Malaysia, kepelbagaian bahasa turut diketengahkan dalam lagu ini juga buat saya gembira dan bersyukur,” ujarnya.
Pada Isnin, Malaysia dengan bangganya melancarkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim di Hangar 6, Kompleks Kejuruteraan MAB.