Ernie Zakri Hilang Suara Di Konsert Aura Live In Concert, Tetap Pukau Peminat Dengan Vokal Luar Biasa – “Ini Titik Terendah Saya Sepanjang Karier”
Kecewa Tak Dapat Berinteraksi Dengan Peminat
Menurut Ernie, 32, dia mengalami masalah suara sejak seminggu lalu, namun reda dengan persembahannya pada malam penuh istimewa itu demi menghiburkan peminat kesayangan.
“Saya terkena jangkitan Laringitis. Saya dah cuba dan jaga yang termampu terutama menjelang konsert tetapi ia terjadi juga.
“Saya dah hilang suara ini dah seminggu tetapi hari ini keadaan masih tak mengizinkan tetapi Alhamdulillah saya dapatkan rawatan sebelum konsert bermula.
“Saya reda dan tawakkal. Ini yang termampu saya beri, diharap peminat suka dan puas hati. Apa yang saya harap adalah saya dapat bercakap dengan mereka. ‘I love to talk with my fans’ tetapi malam itu diuji,” ujarnya kepada Gempak pada sidang media usai konsert.
Disaran Rehat 2 Minggu
Ernie yang menyampaikan lebih 20 lagu pada malam itu turut memaklumkan doktor menyarankannya untuk tidak bercakap demi memastikan peti suaranya tidak terjejas teruk.
“Saya takut peminat tak puas, Alhamdulillah, ini semua kerja Allah. Allah beri rezeki untuk bernyanyi malam ini sudah cukup bermakna buat saya.
“Saya beruntung ada penganjur SAH Entertainment yang memahami. Kami berbincang cari penyelesaian untuk beri yang terbaik,” ujarnya yang disaran berehat selama 2 minggu.
Titik Terendah Dalam Karier
Dalam pada itu, Ernie turut mengakui ujian yang dihadapinya itu adalah titik terendah buatnya sepanjang bergelar anak seni.
“Saya takut, mental yang sangat lemah, saya rasa ini adalah titik terendah saya sepanjang karier. Sebab ini adalah konsert solo pertama saya tetapi saya tahu bagaimana mahu beri pada peminat.
“Ia rezeki Allah. Dari semalam saya berdoa pada Allah, apa hendak jadi, jadi lah, ‘bantai’ saja dan ‘enjoy’,” tutupnya.