Laman Utama

Ezad Lazim Tampil Berbeza Dengan Hip Hop Berkonsep Ketuhanan

Asraf Aided
22/04/2021
09:50 MYT
Sponsor Banner
Ezad Lazim Tampil Berbeza Dengan Hip Hop Berkonsep Ketuhanan
Nama penyanyi Ezad Lazim bukan lagi asing dalam industri muzik tanah air. Sebelum bergerak solo, Ezad pernah mencipta nama bersama kumpulan Exists pada 1995.
Selepas meninggalkan kumpulan itu pada 2007, Ezad, 42, atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim berjaya membina nama dan kerjaya solo sehingga berada di kemuncak dan kelas tersendiri.
Kebanyakan lagu yang dihasilkan menjadi hits dan sejak itu Ezad juga berjaya mengumpul peminat tersendiri. Keunikan vokal dimiliki membuatkan dirinya dekat di hati peminat.
Selain menyampaikan lagu solo berentak balada, Ezad pernah berkolaborsi bersama rapper menerusi lagu Hati Mati iaitu dengan RJ pada 2015 dan lagu Cinta Terakhir bersama Waris (2015).
Terbaru, Ezad muncul dengan single bergenre hip hop berkonsepkan ketuhanan yang berkolaborasi dengan dua rapper muda iaitu Bobby D dan Red Rahimad menerusi lagu Cahaya.
Lagu ciptaan sepenuhnya Red Rahimad itu adalah terbitan dan edaran syarikat rakaman COF Music.
Ezad yang baru muncul juara pada program Muzikal Lawak Superstar 2 berkata, kolaborasi itu amat menarik selain dapat menimba pengalaman baru apabila bekerjasama dengan komposer dan rapper muda.
“Mereka yang mempelawa saya untuk terbabit dalam projek ini. Walaupun semunya terjadi dalam tempoh singkat, saya okay sebab lagu ini cukup menarik perhatian saya. Ditambah pula, lagu ini berentak hip hop yang mana jarang sangat saya rakam lagu sebegini.
“Cuma, lagu ini sedikit berbeza kerana ia berkonsepkan ketuhanan. Jadi, bagi saya tidak salah untuk mencuba sesuatu yang lain pula. Apabila lagu ini dilancarkan pada bulan Ramadan, ia memang kena dengan kisah lagu ini.
“Kisah macam mana seseorang yang sebelum ini jahat, kemudian mendapat hidayah untuk berubah dan minta pengampunan atas segala dosa. Saya yakin, bagi sesiapa yan mendengar lagu ini akan berasa dekat dan dapat menghayatinya,” katanya.
Menurut Ezad, kolaborasi itu juga memberi peluang untuk dirinya mendekati peminat dalam kalangan generasi baru.
“Lagu ini adalah ciptaan sepenuhnya Red Rahimad. Sejujurnya, ia memberikan satu pengalaman berbeza kepada saya. Sebab selama ini tak pernah lagi bekerjasama dengan komposer dan rapper baru.
“Kadang terfikir juga artis lama kena kerjasama dengan pendatang baru. Apatah lagi bagi kategori hip hop di mana sekarang muzik ini kembali diminati dan mendapat tempat. Kalau perasan pun, banyak lagu hip hop sedang meningkat naik. Jadi, saya juga kena ikut tren semasa.
“Mengambil contoh macam Datuk M Nasir, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Jamal Abdillah, percubaan mereka pun menjadi. Selain itu, diharapkan kerjasama ini saya dapat mengumpul peminat dalam kalangan generasi baru,” katanya.
Bagi rapper, Bobby D, 24, atau nama sebenarnya Muhammmad Sharif Sharol berkata, kolaborasi bersama Ezad dianggap sesuatu yang istimewa selain menyifatkan ia penghormatan buat diri mereka.
"Pada bahagian saya ada ubah sikit untuk keselesaan saya membawakan lagu ini. Memandangkan saya dan Red Rahimad bernaung dibawah syarikat rakaman sama iaitu COF Music, jadi ia lebih mudah.
“Menariknya, ini adalah projek pertama kami bekerjasama dengan Ezad. Diakui terkejut dan teruja sebab bekerjasama dengan legenda. Lagu pun berkonsepkan ketuhanan yang tak pernah kami nyanyikan, jadi memang tak sabar nak mendengar hasilnya.
“Lagu ini sudah ada dalam simpanan Red Rahimad. Dalam kebanyakan koleksi lagu yang ada, lagu ini yang menangkap Ezad dan syarikat rakaman. Malah, lagu ini juga sesuai untuk dilancarkan pada bulan Ramadan ini," katanya.
Lagu Cahaya boleh dinikmati di pelbagai platform digital terpilih, jangan lepaskan peluang mendengarkannya!
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar