Gaya Hidup
Ezuwan Ismail Pereka Malaysia Pertama Hasilkan Busana Buat Melly Goeslaw! - "Denim Couture Ini Nilainya RM130,000, Berat Lebih 15 Kilogram"
Pereka fesyen terkenal Ezuwan Ismail berbangga dan teruja apabila mendapat kepercayaan untuk mereka busana penyanyi dan komposer tersohor Indonesia, Melly Goeslaw.
Terharu melihat busananya disarung Melly sempena Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends: Malam Graduasi yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil malam tadi, Ezuwan anggap ia penghargaan besar buat dirinya.
“Melly sudah melihat busana Ezuwan Ismail Kuala Lumpur yang dipakai oleh penyanyi, Aina Abdul ketika membuat persembahan di Gempak Most Wanted Awards pada Februari lalu.
“Kebetulan ketika itu dia disolek oleh jurusolek Epie Termerloh yang bertanya sama ada dia berminat untuk cuba guna khidmat pereka tempatan sekiranya membuat persembahan di Malaysia selepas ini.
“Jadi dia ada meneliti baju saya di media sosial dan sehari selepas itu kami berjumpa untuk berbincang. Saya terkejut besar apabila dia beritahu berminat nak pakai baju saya untuk konsert besarnya di sini.
“Satu penghormatan bila dia terus nak pakai baju pereka tempatan kita dalam satu persembahan skala besar. Rasa teruja campur berdebar bila berpeluang untuk berkarya seterusnya reka baju figura terkenal Seberang seperti Melly Goeslaw.
“Iyalah bukan senang nak dapat kepercayaannya memandangkan sebelum ini dia belum pernah pakai mana-mana persalinan yang direka oleh pereka fesyen Malaysia. Rasa syukur sebab kita tahu namanya pun bukan calang-calang di rantau ini,” katanya kepada Gempak.
BERITA TRENDING: Peminat Berbaju Sekolah, Joe Flizzow, Puteri Ariani Gamatkan Konsert Graduasi Melly Goeslaw
Rekaan paling mahal
Berkongsi mengenai rekaan tersebut, Ezuwan menjelaskan baju yang direka adalah yang termahal pernah dihasilkan untuk mana-mana selebriti setakat ini.
“Sesuai dengan karektor dan personaliti Melly, Saya memilih fabrik denim sebagai input utama rekaan yang disulami dengan perincian penuh manik dan mutiara pelbagai saiz yang dijahit tangan dari atas sampai bawah.
“Lebih 70,000 manik dan mutiara telah digunakan yang makan masa sekitar tiga minggu untuk disiapkan. Kalau dijual di pasaran, harganya sekitar RM130,000 dan mutiara pelbagai saiz itu juga telah dibeli dari luar negara.
“Memang mahu cipta satu kelainan yang eskklusif memandangkan ramai yang sedia maklum perincian serta jahitan yang kemas adalah ‘signature’ Ezuwan Ismail Kuala Lumpur," tambahnya.
Perfect!
Malah, jelas Ezuwan, ketika sesi fitting kali pertama beberapa hari sebelum konsert, Melly tidak meminta sebarang perubahan pada mana-mana bahagian busananya.
“Melly juga gembira dan tidak minta sebarang perubahan dilakukan pada mana-mana bahagian baju bila sesi ‘fitting’ dilakukan. Satu penghormatan juga bila Melly menyarung ia pada penutup konsert semalam yang kita tahu lagu-lagu hitsnya telah dipersembahkan pada segmen itu.
“Malah sudah semestinya jangkaan orang luar juga tinggi untuk lihat apa lagi yang boleh Ezuwan Ismail Kuala Lumpur hasilkan sebab sebelum ini saya sudah mereka persalinan ikonik untuk konsert besar Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aina Abdul dan Ziana Zain.
“Syukur atas pelbagai maklum balas positif yang diterima. Saya anggap ini rezeki dan sudah semestinya pencapaian baik ini menjadi pembakar semangat untuk Ezuwan Ismail Kuala Lumpur terus mencipta sukses selepas ini, insya-Allah,” katanya lagi.
BERITA TRENDING: Busana Queen Of Gold Aina Abdul Bernilai RM120,000, Berat 40 Kilogram! - "Fabrik Emas Ni Tak Jual Kat Malaysia"
Foto konsert: Bangsawan PicturesKorang dah tengok filem pilihan nombor satu di GSC, The Experts?
Kalau belum, filem tempatan pecah panggung ini masih mendominasi pawagam tanah air. Jom, tonton The Experts di pawagam berhampiran korang hari ini.
#Viral
#Pereka Fesyen
#Fesyen
#Indonesia
#Mahal
#Melly Goeslaw
#Ezuwan Ismail
#Baju
#Busana
#Denim
#Manik
#Mutiara