Hiburan
Ezzaty Abdullah Hadiahkan 'Pregnancy Test' Kepada Suami Sempena Hari Jadi?
Pelakon Ezzaty Abdullah mencetuskan teka-teki dalam kalangan netizen menerusi sepotong video hadiah ulangtahun kelahiran suaminya, Azwan Kombos baru-baru ini.
Menerusi video berkenaan, Ezzaty menggunakan sebuah kotak barangan berjenama antarabangsa memberikan kejutan kepada Azwan namun kandungan dalam kotak berkenaan dirahsiakan.
Reaksi Azwan ketika itu terkejut dan tidak menyangka barang yang diterima dari isterinya.
Sehubungan itu, netizen mulai berteka-teki hingga ada yang menganggap hadiah terbabit merupakan kit ujian kehamilan (pregnancy test) seperti yang kejutan sering dilakukan pasangan yang berkahwin sejak akhir-akhir ini.
Menjawab persoalan tersebut, kata Ezzaty pemberian itu bukan seperti yang ditebak netizen.
"Semua orang ingat saya hamil. Saya bagi benda lain tapi tak suka nak tunjuk kat orang. Itu bukan pregnancy test pun.
"Kalau ada saya akan beritahu semua orang. Saya nak sangat tambah cahaya mata, cuma belum sampai rezeki kami," jelasnya kepada Gempak.
Ezzaty ditemui di set penggambaran drama bersiri The Maid di Cyberjaya pada Khamis.
Kata Ezzaty lagi, dia memberikan sejumlah wang buat suaminya yang diisikan ke dalam kotak terbabit kerana buntu untuk membelikan hadiah yang diinginkan.
"Banyak kali saya tanya apa yang dia nak, dia kata tak tahu. Jadi, saya buntu dan akhirnya memberikan sejumlah wang yang dimasukkan ke dalam kotak tersebut," tambah Ezzaty.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 16 Julai 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Harum Dalia yang kini berusia tiga tahun.