Fad Anuar Enggan Dibayangi Eman Manan - “Mahu Pun Anak Buah Sendiri, Tiada Toleransi”
Pelakon Fad Anuar mengambil pendekatan untuk tidak menggunakan nama bapa saudaranya, Eman Manan sebagai jalan pintas untuk menapak dalam industri seni tempatan.
Menjengah usia kerjaya enam tahun, Fad, bagaimanapun sentiasa ingat pesanan bapa saudarannya yang memintanya untuk mencari ilmu dalam bidang seni.
“Sebut mengenai Eman Manan, soal kerja tidak boleh bertolak ansur. Dari segi keluarga, mahu pun anak buah sendiri, tiada toleransi dari segi itu.
“Jadi pesannya, jika ingin berkecimpung dalam bidang seni, carilah ilmu dan cari apa yang patut untuk persiapkan diri.
“Semestinya saya sendiri tidak mahu memperdagangkan nama Eman Manan kerana jurang kami jauh berbeza. Nama Eman Manan sendiri dalam industri sudah besar dan mempunyai kredibiliti tersendiri.
“Eman adalah bapa saudara saya dan menjadi penasihat buat saya. Saya berjumpa dan berbincang dengannya mengenai cara pengembangan watak setiap kali saya menerima tawaran dan skrip untuk lakonan.
"Selain itu, dia juga adalah orang yang bertanggungjawab memberi nasihat kepada saya mengenai apa yang patut dan tidak patut dikongsikan di media sosial," katanya.
Sering dilihat sebagai pelakon aksi, Fad yang memiliki pengetahuan dalam seni bela diri silat sejak sekolah ingin menjadi pelakon serba boleh.
“Kalau boleh, saya nak jadi pelakon serba boleh. Tapi, mungkin orang lebih nampak bakat dan kemampuan saya lebih kepada watak dalam naskah aksi.
“Teringin juga hendak menjayakan watak komedi ringan dan cinta namun belum ditawarkan lagi buat masa ini. Jika ada peluang, saya ingin meneroka watak-watak begitu,” kata Fad.
Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Fad diberikan tanggungjawab menjayakan watak Yakpat dalam filem Walid arahan Areel Abu Bakar.
Walid ditayangkan di pawagam bermula 14 September depan dan membariskan pelakon antaranya, Nam Ron, Megat Sharizal, Yusran Hashim, Qaseh Izwandy dan ramai lagi.