Hiburan

Farid Kamil Lalui Fasa Bahagia Selepas Rujuk, Tolak Dakwaan Jadi Pasangan Contoh - “Apa Yang Kami Buat Adalah Kembali Kepada Niat Asal Berkahwin”

Mya Amri
06/07/2024
00:59 MYT
Sponsor Banner
Farid Kamil Lalui Fasa Bahagia Selepas Rujuk, Tolak Dakwaan Jadi Pasangan Contoh - “Apa Yang Kami Buat Adalah Kembali Kepada Niat Asal Berkahwin”
Pelakon, Farid Kamil meluahkan rasa syukur apabila kehidupannya kini lebih bahagia selepas kembali rujuk dan memulakan lembaran baharu bersama isteri tercinta, aktres, Diana Danielle.

Dilabel sebagai pasangan contoh

Menurut Farid apa yang dilakukan itu bukanlah sesuatu yang sesuai untuk dijadikan sebagai pasangan contoh seperti diperkatakan netizen sebaliknya kembali kepada niat asal perkahwinan mereka.
“Tiada contoh yang terbaik… Yang kami berikan itu bukanlah contoh terbaik tetapi apa yang boleh saya katakan, apa yang kami buat itu adalah kembali kepada niat asal kami berkahwin.
“Bila kami faham antara satu sama lain, niat asal kita berkahwin ni untuk apa, kerana Allah. Jadi benda itu menjadi mudah,” katanya.
Farid berkata demikian ketika ditemui semasa tayangan perdana filem terbaharu lakonannya berjudul Gold di Aurum Theatre, The Exchange, TRX pada Jumaat.

Kehidupan kini lebih bahagia

Mengulas mengenai kehidupannya selepas episod hitam melanda perkahwinan mereka, Farid berkata perceraian telah mengajarnya untuk menjadi seorang yang lebih realistik dalam menilai kesilapan lalu.
“Sebelum ini mungkin pemikiran atau pun pemahaman kami tidak selari, tetapi apabila kita dapat duduk berbincang, selarikan pemahaman dan pendapat kita itu, alhamdulillah. Kita berada dalam fasa yang sangat bahagia.
“Saya sebagai seorang ayah dan seorang lelaki pun sentiasa rasa bersyukur dengan apa yang berlaku kerana semua itu telah tertulis. Kita hanya menjalani sahaja tulisan atau perjalanan kita itu,” jelasnya.

Pilih untuk tidak hebahkan tentang rujuk

Dalam pada itu, Farid juga menjelaskan mereka mempunyai sebab tersendiri mengapa memilih untuk tidak menghebahkan tentang proses rujuk.
“Sebenarnya rujuk itu dah lama. Secara undang-undangnya atau secara dasarnya rujuk itu sudah berlaku, orang kata asas kepada rujuk itu sudah berlaku.
“Kita ambil jalan tengah bagi menyelesaikan masalah itu dengan cara merujuk dan kita tidak menguar-uarkan perkara itu kerana ia tidak sepatutnya menjadi berita sensasi. Kita ambil jalan mudah dan terbaik,” ujarnya.
Terdahulu, Farid dan Diana mengejutkan ramai apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor pada 10 Ogos 2023.
Bagaimanapun, Farid dan Diana memgambil keputusan untuk rujuk kembali pada 31 Ogos 2023 selepas 21 hari bercerai.
Malah Farid dan Diana juga kelihatan lebih bahagia selepas kembali rujuk sehingga netizen menjadikan mereka sebagai pasangan contoh.
Malah netizen juga turut mengagumi kesungguhan pasangan ini menyelamatkan perkahwinan yang telah lama dibina.
Kata netizen, pasangan itu telah membuktikan bahawa perceraian bukanlah satu-satunya solusi terhadap segala masalah rumah tangga.
Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar