Fendy Tidak Lagi Anggota Caliph Buskers - “Pengunduran Bukan Atas Kerelaan Saya…”
Anggota Caliph Buskers iaitu Fendy mengumumkankan dia kini tidak lagi bersama kumpulan yang dianggotainya sejak 10 tahun lalu.
Fendy memaklumkan perkara itu menerusi hantaran terbaharu di akaun Facebook miliknya pada Rabu.
Menurut Fendy, pengundurannya daripada kumpulan itu bukan dengan kerelaan hati sebaliknya seolah-olah dibuang oleh pihak pengurusan dan anggotanya sendiri.
“Dengan rasa berat hati saya umumkan bahawa sekarang saya bukan lagi ahli Caliph Buskers.
“Pengunduran saya bukan atas kerelaan saya tetapi saya dibuang oleh ahli-ahli dan pihak pengurusan setelah hampir 10 tahun.
“Dari kami susah hingga senang bersama. Dari group penyanyi jalanan yang tidak siapa pun kenali hingga ke tahap sekarang dikenali ramai satu satunya group band OKU penglihatan,” maklumnya.
Dalam hantaran yang sama, Fendy menjelaskan tujuan dia memaklumkan perkara itu bukan mencari salah sesiapa sebaliknya untuk kesenangan urusan di masa hadapan.
“Tujuan saya memberi tahu di sini bukan untuk mengungkap salah sesiapa, tapi lebih untuk memudahkan urusan saya di masa depan kerana dengan bermain muzik inilah periuk nasi saya.
“Sekiranya ada kawan-kawan yang memerlukan perkhidmatan saya untuk pemain drum, boleh lah berhubung terus dengan saya. Saya freelance drummer sekarang.
“Buruk parang dimakan karat, sekali asah tidakkan tajam. Buruk orang melupakan adat, hati pemarah bertindak kejam,” coretnya.