Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

FFM32: Izzue Islam Tak Malu Kata Nak Menang, Tapi Tak Harap

Syafiqah Jalal 02/12/2022 | 09:23 MYT
Pelakon Izzue Islam akui bersyukur apabila dapat tercalon dalam Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-32 yang bakal berlangsung di Encore, Melaka, malam ini.
Meskipun tidak meletakkan harapan yang tinggi, namun Izzue yang tercalon dalam filem Juang itu tidak menafikan mahu kemenangan itu menjadi miliknya.
"Memang saya tidak meletakkan harapan tinggi. Tetapi, semestinya mengharapkan kemenangan. Setiap pelakon tercalon dalam kategori ini hebat dalam menterjemah watak bagi filem masing-masing.
"Ini pun saya sudah lebih daripada bersyukur melihat nama dicalonkan. Bagaimanapun, tidak dinafikan, saya terkejut dan teruja.
"Filem Juang adalah cerminan realiti kita semua. Bagi saya, Juang adalah naskhah yang mengangkat dan memartabatkan perjuangan petugas barisan hadapan," katanya kepada Astro Gempak.
Izzue bersaing dengan empat pelakon lain iaitu Hasnul Rahmat bagi filem Jerangkung Dalam Almari; Beto Kusyairi (Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan), Nas-T (Air Force The Movie: Selagi Bernyawa) dan Datuk Zahim Albakri (Spilt Gravy).
Membawa watak Zaki dalam filem yang digarap lima pengarah itu, Izzue berkata, penonton dapat merasai penderitaan dan pengorbanan petugas barisan hadapan dalam kisah dipaparkan.
"Sebenarnya watak ditampilkan cukup dekat dengan realiti, tambahan pula, filem Juang bercerita mengenai pandemik COVID-19 yang memberi kesan dalam kehidupan rakyat Malaysia.
"Jadi, penonton dapat hayati dengan lebih mendalam. Apa yang dipaparkan hanyalah beberapa kisah yang mungkin pernah didengari dan dilalui," katanya.
Izuue pernah menjulang trofi Pelakon Lelaki Harapan sembilan tahun lalu menerusi filem 29 Februari.
#Izzue Islam #Menang #Malu #FFM32 #Harap
;