Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

FFM33: Beto Kusyairi dan Diana Danielle Bersaing Dengan Nabila Huda, Zul Ariffin & Shaheizy Sam Untuk Kategori Top 5 Pelakon Terbaik

Asyraf Roslan 04/12/2024 | 11:55 MYT
Pelakon ternama tanah air, Beto Kusyairi sekali lagi membuktikan kehebatannya dalam dunia lakonan apabila sekali lagi tersenarai dalam Top 5 Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33).
Pencalonan ini merupakan hasil lakonan mantapnya yang berjaya memukau penonton dalam filem Imaginur.
Mengulas lanjut mengenai pencalonannya itu, Beto menyifatkan ia sebagai satu pengiktirafan bukan untuk dirinya sahaja malah mereka yang bekerja keras dalam menghasilkan filem tersebut.
“Pencalonan ini bukan hanya untuk diri saya, tetapi untuk semua yang terlibat dalam menjayakan filem ini. Ia adalah hasil kerja keras, kerjasama, dan semangat perjuangan kami semua,” katanya.
Beto juga meluahkan rasa syukur atas penghargaan ini dan menjadikan ia satu motivasi buat dirinya untuk terus berkarya dalam menghasilkan filem yang berkualiti disamping memberi impak yang mendalam kepada penonton.
Sementara itu, heroin filem Imaginur iaitu Diana Danielle turut disenaraikan dalam kategori Top 5 Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem yang sama.
Lakonan Diana yang mendalam dan penuh emosi telah meninggalkan kesan mendalam kepada penonton serta mendapat pujian meluas daripada pengkritik.
“Saya amat berbesar hati dengan pencalonan ini. Filem Imaginur adalah projek yang sangat bermakna bagi saya. Terima kasih kepada pasukan produksi, pengarah, serta peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan,” kata Diana.
Menurut Diana, filem ini bukan sahaja menawarkan hiburan tetapi turut menyampaikan mesej dan emosi yang mendalam, menjadikan ia projek yang amat dekat di hatinya.
Untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik, Diana Danielle bakal bersaing bersama Nadia Aqilah (Eva), Susan Lankaster (Rain Town), Nabila Huda (Rahsia) serta Chen Keat Yoke (Hungry Ghost Diner).
Manakala, Beto mendapat persaingan sengit daripada Zul Ariffin (Sheriff), AsrulFaizal (Duan Nago Bogho), Shaheizy Sam (Polis Evo 3) dan Chew Kin Wah (Rain Town) untuk merebut anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.
Sekadar info, Filem genre cereka sains romantik, Imaginur yang menyaksikan lakonan hebat Beto Kusyairy dan Diana Danielle, tersenarai dengan pencalonan terbanyak menerusi 15 kategori.
Kategori lain ialah Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Festival Filem Malaysia ke-33 akan bersiaran secara langsung di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media pada 7 Disember 2024.
#Diana Danielle #Nabila Huda #Zul Ariffin #Beto Kusyairi #Pelakon Terbaik #FFM33
;