Laman Utama
Fizo Omar Gesa Hentikan Propaganda Politik, Pandang Nasib Rakyat Yang Sengsara - "Sampai Tak Ada Makanan Dah Ni Bukan Isu Remeh"
Pelakon Fizo Omar, 36, tampil meluahkan rasa ketidakpuasan hati selepas melihat peningkatan kes harian Covid-19 sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 1.
Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar mempersoalkan apa yang harus dilakukan lagi kerana rata-rata rakyat Malaysia patuh dengan arahan kerajaan untuk terus kekal di rumah.
"Makin dikurung makin menjadi! Kadang tu bila fikir macam logik tak logik.
"Bukan nak pertikai tapi bila semua dah lockdown, rakyat dah berkorban tak keluar, bekerja sampai tahap yang sangat serius terputus makanan dan kes bunuh diri makin menjadi jadi. Hari demi hari, ia makin teruk.
"Apa lagi yang patut kami lakukan? Negara lain pun dilanda pandemik juga? Tapi dah banyak negara mula recover dan ekonomi mula berjalan seperti biasa," tulisnya.
Menerusi hantaran di Instagram (IG), Fizo berkongsi jumlah kes Covid-19 pada 1 Julai yang merekodkan 6,988.
Dalam pada itu, pelakon drama Pengantin Satu Malam menggesa agar pihak kerajaan memandang serius dengan nasib rakyat yang makin daif.
"Sebagai rakyat kami berhak bersuara, hentikan la propaganda politik, perebutan kuasa, rasuah berleluasa.
"Tengok kiri kanan dan bawah sama, rakyat sampai tak ada makanan dah ni, bukan isu remeh. Sampai bila kita nak macam ini," tulisnya lagi.
Tambah usahawan itu, kerajaan sepatutnya mengenepikan isu politik selain tidak mementingkan diri demi kesejahteraan rakyat.
"Waktu ini la pemimpin kita sama-sama bersatu, ketepikan soal kuasa dan sikap penting diri sendiri.
"Usaha dan doa lah macam mana pun, kalau masih ada lagi sikap pecah amanah, rasuah semua, macam mana kita nak mendapat barakah dari Allah SWT. Tiada niat nak tuduh atau tunding jari pada mana-mana pihak.
"Kami sebagai rakyat telah memberi amanah kepada pemimpin dan kerajaan. Diharap segala keluhan dan kesusahan rakyat menyedarkan mereka yang tidak bertanggungjawab," tulis Fizo.